My Add

Tuesday 17 April 2012

Najib: Pengganti ISA sedia 7 lindung jamin

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) bagi tujuan mengawal keselamatan dan ketenteraman awam bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Parlimen, hari ini. - Foto Effendy Rashid

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 April, 2012: Kerajaan telah mengambil keputusan mengadakan tujuh lindung jamin berikutan penggubalan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata antara langkah yang diadakan dalam rang undang-undang baru yang bertujuan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 ialah tiada seseorang boleh ditangkap atau ditahan atas kepercayaan atau aktiviti politiknya.

"Melalui peruntukan Seksyen 4 Sub-Seksyen 3, 'tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya'.

"Ini membawa maksud perlindungan kepada penglibatan dalam aktiviti yang sah di sisi undang-undang melalui pernyataan pendapat atau pengambilan tindakan yang dibuat menurut rukun suatu parti politik yang pada masa yang berkaitan itu berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.

"Ini terbukti melalui keanggotaan, sumbangan kepada parti, penyertaan terbuka dan aktif dalam hal ehwal parti, pernyataan pendapat yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan atau pengambilan tindakan yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan," katanya ketika membentangkan rang-undang-undang itu di Parlimen, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata menerusi rang undang-undang itu, kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan tanpa perbicaraan mana-mana individu juga dimansuhkan dengan polis diperuntukkan kuasa khas menangkap dan menahan mereka yangn dipercayai terlibat dengan kesalahan keselamatan.

Najib menjelaskan mereka yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan di mana kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah bukan seperti peruntukan dalam ISA yang menghalang kuasa semakan kehakiman kecuali dalam tatacara tahanan.

"Berkaitan itu, ingin ditegaskan bahawa kerajaan dan pihak berkuasa akan menghormati apapun keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Dalam erti kata lain, seseorang yang telah dilepaskan, tidak akan ditahan semula, atas siasatan kesalahan yang sama," katanya.

Perdana Menteri berkata klausa "sunset" bagi tempoh tahanan 28 hari juga hendaklah disemak lima tahun sekali dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan, jika, apabila semakan dibuat, suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.

Najib berkata lindung jamin seterusnya ialah polis yang menjalankan siasatan terhadap seseorang hendaklah memaklumkan kepada waris atau keluarga terdekat secepat mungkin mengenai penangkapan dan penahanan individu berkenaan dengan tempoh tahanan tidak boleh melebihi daripada 48 jam.

Beliau berkata sebelum tamat tempoh tahanan, pegawai polis yang menjalankan siasatan hendaklah menghantar Kertas Siasatan kepada pendakwa raya sama ada untuk mendakwa tertuduh di mahkamah atau membebaskannya, bererti individu berkenaan tidak akan ditahan selepas tempoh 28 hari.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa secara pentadbiran untuk menyemak keseluruhan akta itu dari semasa ke semasa di mana jawatankuasa tersebut juga bertanggungjawab untuk meneliti pelaksanaannya serta mengemukakan syor untuk penambahbaikan.

Najib berkata keanggotaan jawatankuasa itu bukan hanya terbatas kepada agensi yang berkenaan tetapi juga melibatkan Presiden Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Lindung jamin terakhir dan terbesar adalah kuasa dan kehendak rakyat. Kita harus maklum bahawa, di tangan rakyatlah kuasa setiap lima tahun untuk mengamanahkan parti atau gabungan parti mana yang hendak diberi kuasa sebagai kerajaan kerana ia adalah teras asas sistem demokrasi berparlimen," katanya.

Perdana Menteri turut mencadangkan supaya mahkamah khas diwujudkan secara pentadbiran untuk mendengar kes-kes keselamatan di bawah rang undang-undang tersebut dan hakim yang berpengalaman diberi pendedahan kepada semua bentuk kesalahan keselamatan dan peruntukan undang-undang yang akan digunakan.

Selain itu, Najib juga mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Hasutan tanpa mengenepikan apa-apa opsyen.

"Pembentangan rang–rang undang kesalahan keselamatan 2012 ini, tidak bermakna berakhirnya usaha yang telah dimulakan tujuh bulan lalu. Pastinya, kerajaan akan meneruskan usaha perubahan dan pembaharuan politik yang mulia ini," katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment