My Add

Thursday 26 April 2012

Pengangkutan bas di Melaka tunjuk perkembangan positif

MELAKA, KHAMIS, 26 April, 201: Pengambilalihan pengurusan bas henti-henti oleh kerajaan negeri Melaka melalui anak syarikatnya, Panorama Melaka Sdn Bhd mula menunjukkan perkembangan positif sejak beroperasi hampir dua bulan lalu. 

Pengambilalihan daripada 10 pengusaha syarikat bas swasta dengan pampasan bernilai RM7.7 juta itu adalah inisiatif kerajaan negeri Melaka di bawah teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bertujuan menambahbaik pengangkutan awam di negeri ini.

Bayaran itu membabitkan RM5.4 juta bagi mengambil alih 110 buah bas, pampasan RM1.8 juta kepada 118 pekerja serta ganti rugi tambahan kepada semua syarikat itu berjumlah RM500,000.

Walaupun terdapat rungutan daripada pengguna khususnya mengenai ketidakerapan bas, namun usaha menaiktaraf pengangkutan yang menjadi nadi kehidupan sesetengah masyarakat itu disambut baik oleh mereka. 

Seorang tukang cuci Rosnah Aman, 48, yang berulang alik lebih tujuh kilometer dari rumahnya di Kampung Pokok Mangga ke tempat kerjanya di sebuah sekolah di Peringgit di sini, memuji langkah menggantikan bas baru yang memberikan lebih keselesaan berbanding bas lama yang sering rosak. 

"Tetapi kita kena menunggu lama antara satu hingga satu setengah jam untuk menaiki bas sebab bilangan bas yang masuk di kawasan kampung saya ini amat sedikit dan waktunya tidak tentu," katanya yang sudah menggunakan perkhidmatan bas henti-henti selama lebih dua tahun. 

Katanya, masalah itu juga membuatkan anaknya pernah ponteng sekolah selepas terlepas bas.

Sementara itu, seorang pelajar jurusan fesyen di Pusat Giat Mara, Nur Shuhadah Suhai, 18, berkata penggantian bas baru yang mempunyai ruang yang luas serta pendingin hawa memberikan keselesaan kepada penumpang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment