My Add

Wednesday 25 April 2012

Penganjur perhimpunan diminta terima lokasi alternatif

KUALA LUMPUR, rabu, 2 april, 2012: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini meminta penganjur satu perhimpunan di ibu kota hujung minggu ini supaya menerima lokasi alternatif yang ditawarkan kerajaan dan bukan di Dataran Merdeka sekiranya mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan maksud di sebalik perhimpunan itu. 

"Kita tidak menolak mereka melakukan perhimpunan, kita cuma menolak mereka menggunakan Dataran Merdeka dan kita memberi empat pilihan lain.

"Jika mereka benar-benar ikhlas mahu adakan perkara ini (perhimpunan) mengapa tidak fikirkan cara dan berbincang secara baik daripada sibuk mencari pelbagai alasan yang langsung tidak masuk akal yang tidak jelas serta konsisten.

"Sekarang mereka bagi alasan tiada masa (memindahkan lokasi perhimpunan) saya rasa orang ramai tidak boleh menerima alasan yang tidak masuk akal.. dan hal ini jelas sekali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Menara 1, Bukit Aman, di sini, hari ini. 

Kerajaan menawarkan empat lokasi perhimpunan iaitu Stadium Cheras, Stadium Merdeka, Stadium Bukit Jalil dan Stadium Titiwangsa namum penganjur perhimpunan itu yang disokong pembangkang tetap berkeras untuk mengadakannya di Dataran Merdeka. 

Hishammuddin berkata bukan niat kerajaan untuk menghalang perhimpunan aman seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman sebaliknya kerajaan cuba dengan sedaya-upaya untuk berlaku adil terhadap mana-mana permintaan yang dikemukakan. 

"Saya memberi jaminan sekiranya mereka mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka misalnya perjalanan mereka ke tempat itu menjadi lebih mudah dan tidak terganggu," katanya

Beliau berkata sekiranya penganjur perhimpunan tetap berdegil mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka maka pihaknya akan menggunakan cara lain bagi mengatasi perkara berkenaan. 

Hishammuddin turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perhimpunan tersebut dan menyebarkan segala khabar angin yang tidak bertanggungjawab. 

"Banyak cerita-cerita yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan jangan ambil tindakan terburu-buru sehingga ia disahkan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment