My Add

Tuesday 17 April 2012

Penggantian pesawat MiG-29N TUDM diperingkat penilaian

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 April, 2012: Penggantian pesawat pejuang MiG-29N dengan pesawat baru bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini di peringkat penilaian, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau berkata, pihak kementerian sedang mengkaji keupayaan dan spesifikasi pesawat yang dikeluarkan oleh beberapa syarikat agar menepati keperluan TUDM.

Katanya, pihak kementerian juga sedang meneliti tawaran pakej pembelian pesawat-pesawat pejuang termasuk aspek tawaran timbal balik yang diberikan oleh syarikat pengeluar seperti pemindahan teknologi dan tempoh bayaran.

"Keputusan muktamad masih belum dibuat kerana kita perlu berbincang tentang soal peruntukan negara," katanya kepada pemberita pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. 

Sejak 2009, kerajaan menimbang untuk menggantikan sepenuhnya pesawat MiG-29N, buatan Russia, milik TUDM dengan pesawat tempur pelbagai guna daripada pengeluar lain dan antara pengeluar yang disebut-sebut adalah Eurofighter Typhoon buatan empat buah syarikat aeroangkasa Eropah. 

Pada ketika ini, pesawat Typhoon yang berukuran panjang 15.96 meter dan berkemampuan untuk terbang melebihi 60,000 kaki digunakan oleh Tentera Udara Diraja British, Itali, Austria, Sepanyol dan Jerman. 

Pesawat yang berkemampuan membawa pelbagai jenis peluru berpandu udara ke udara atau udara ke darat dibina secara kerjasama oleh BAE Systems (Britain), EADS-Military Aircraft (Jerman), Alenia Finnmeccanica (Itali) dan EADS-CASA (Sepanyol). 
Malaysia membeli 18 pesawat MiG-29N pada Jun 1994 berharga AS$380 juta (RM1.3 bilion). 

Mengenai pembelian senjata automatik machine-gun m4 Carbine keluaran Amerika Syarikat bagi menggantikan senjata automatik Steyr yang telah digunakan tentera sejak 15 tahun lalu, Ahmad Zahid berkata, 85 peratus pembuatan peralatan senjata itu dibuat oleh syarikat tempatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment