My Add

Sunday 15 April 2012

Penjajahan baru

Oleh Syuhada Choo Abdullah, Shamsul Kamal Amarudin dan Haspaizi Mohd Zain

Negara asing salur dana kepada NGO bantu parti politik tertentu tumbangkan kerajaan

KUALA LUMPUR, SABTU, 14 April, 2012: Presiden Pertubuhan Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar, memberi amaran mengenai bahaya ancaman penjajahan bentuk baru yang menggunakan taktik lebih halus melalui penyaluran dana asing untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya di negara ini.

Beliau yang juga ahli sains politik berkata, ancaman penjajahan tidak pernah tamat berikutan matlamat pihak tertentu untuk menguasai dunia serta negara lain supaya mengikut telunjuk dan kehendak mereka.

Katanya, sejarah membuktikan gejala berkenaan pernah melanda negara tertentu seperti di Amerika Latin, justeru semua pihak terutama rakyat, harus sentiasa berwaspada kerana ada kemungkinan ia juga sedang berlaku di Malaysia.

Beliau mengingatkan, pihak asing yang ingin mempengaruhi keputusan pilihan raya negara lain tidak semestinya menyalurkan dana secara langsung kepada parti politik, tetapi mungkin berbuat sedemikian melalui badan bukan kerajaan (NGO) tertentu bertopengkan perjuangan seperti atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.

“Mereka menyalurkan dana asing itu kepada NGO terbabit yang rapat dan bekerjasama untuk membantu parti politik tertentu. Modus operandi itu pernah berlaku di negara Amerika Latin. Bahaya ini memang wujud dan menjadi cabaran kepada negara, namun sukar mendapat bukti kukuh,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan kemasukan dana asing bagi membiayai parti politik akan disekat bagi menyelamatkan negara daripada cubaan pihak luar yang mahu mengambil kesempatan mempengaruhi dan mencampuri urusan pentadbiran negara.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mohammad Fairus Khairuddin, berkata pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan, menyekat serta mendedahkan kepada umum parti politik yang mendapat dana asing bagi menumbang kerajaan.

Ditanya mengenai dakwaan PKR mendapat dana asing, katanya, perkara itu sudah banyak didedahkan, terutama mereka yang pernah rapat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, justeru siasatan menyeluruh perlu dilakukan kerana rakyat harus bangkit menentang pihak mendapatkan bantuan asing.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, pula berkata pihak berkuasa perlu menapis setiap dana yang masuk ke negara ini, terutama membabitkan parti politik bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjatuhkan kerajaan.

Di SITIAWAN, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata parti politik yang mengguna dana asing boleh mengakibatkan mereka bukan saja dikongkong, tetapi terpaksa membiarkan pihak luar menentukan agenda politik dalam negara sehingga maruah rakyat tergadai.

“Jika dana itu digunakan untuk pelaburan, pihak asing terbabit akan mendapat untung dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Dana seperti ini tidak menjadi masalah tetapi jika wang itu disalurkan untuk aktiviti politik, ia memberi ruang pihak luar untuk menghancurkan perpaduan,” katanya. - BERITA MINGGU

No comments:

Post a Comment