My Add

Wednesday 25 April 2012

Perkukuhkan jenama Malaysia

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

PETALING JAYA, SELASA, 24 April, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu jenama Malaysia diperkukuhkan lagi dalam usaha meletakkan jenama negara setanding dengan jenama-jenama terkenal di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Perancis, Itali dan Jepun.

Beliau yakin usaha tersebut mampu dilaksanakan asalkan semua pihak bersama berganding bahu menjayakannya terutama dalam menyediakan lebih banyak peluang pelaburan kepada pemain-pemain industri berjenama Malaysia.

Selama ini, kata Najib, Malaysia telah pun mempunyai jenama-jenama yang terkenal seperti Petronas, AirAsia, Maxis, Celcom, DiGi selain pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa bagaimanapun jumlahnya perlu dipertingkatkan.

"Kita harus berbangga dengan pencapaian jenama-jenama ini, namun kita perlu berusaha keras supaya lebih banyak syarikat berjenama Malaysia dapat diwujudkan. Hasrat ini boleh direalisasikan dengan syarat kita semua berganding bahu.

"Usaha ini tidak akan berjaya jika kerajaan hanya melakukannya secara bersendirian. Ya, kerajaan telah menyediakan peluang-peluang pelaburan baru melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) tetapi kita masih memerlukan sokongan pihak industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Jenama Putra 2012 di sini malam ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri telah diberi penghormatan menyampaikan anugerah tertinggi iaitu Anugerah Jenama Putra 2012 yang dimenangi oleh Astro.

Selain Astro antara pemenang utama lain ialah Bonia, Firefly, Ogawa, Pensonic, Vincci dan Old Town White Coffee.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dalam usaha mengetengahkan lebih banyak jenama Malaysia khususnya di peringkat antarabangsa, pendekatan lebih kreatif amat diperlukan.

Begitu juga katanya, dengan langkah memberi lebih banyak peluang kepada bakat-bakat muda yang mempunyai tahap kreativiti yang hebat agar kemahiran yang ada digunakan untuk memperkenalkan lagi jenama Malaysia.

Dalam pada itu, Najib di dalam teks ucapannya turut menyentuh mengenai usahanya mendekati rakyat terutama generasi muda melalui laman sosial seperti Twitter selain berhubung melalui laman web 1Malaysia.

"Untuk makluman, 1Malaysia kini telah menjadi jenama bagi negara dan ia merupakan lambang kesatuan dalam kepelbagaian kaum serta etnik di negara ini.

"Dengan adanya gagasan ini ia berjaya membuatkan kita lebih bersatu hati khususnya dalam kita bersama-sama membina negara yang lebih cemerlang," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment