My Add

Thursday 26 April 2012

PIBG perlu lebih agresif - Muhyiddin

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, RABU, 25 April, 2012: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) digesa agar lebih agresif membantu pihak sekolah menyediakan program pembangunan sahsiah serta peningkatan prestasi secara lebih tersusun dan komprehensif bagi meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendidikan adalah agenda yang tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian sebaliknya, memerlukan kerjasama semua pihak khususnya PIBG bagi membolehkan perancangan pembangunan dibuat secara holistik.

Ini kerana jelas beliau, penentuan sama ada Malaysia mampu muncul sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, atau terus terperangkap dalam kelompok negara membangun berpendapatan sederhana amat bergantung kepada sistem pendidikan.

“Oleh itu saya amat berharap agar pihak PIBG bersama-sama pihak sekolah dapat menyediakan perancangan yang teliti demi meningkatkan lagi kecemerlangan dan prestasi anak masing-masing, saya menyeru agar kesepakatan ini dapat diperhebatkan lagi.

“Pendidikan hari ini berdepan cabaran globalisasi, fenomena sosial yang sangat mencabar serta aspirasi yang perlu dicapai. Maka usaha bersepadu harus dilakukan demi perubahan dari segi pemikiran serta pendekatan, sejajar dengan kehendak dan perubahan pendidikan," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa berucap pada majlis penyampaian Anugerah Cemerlang PIBG Kebangsaan 2011, di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, dekat sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud.

Pada majlis tersebut, Sekolah Menengah Agama (JAIM) Al-Ehya El-Karim dari Melaka muncul pemenang Anugerah Cemerlang PIBG Kebangsaan 2011, sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000, Piala Pusingan Menteri Pelajaran serta sijil penghargaan.

Sementara itu, menyentuh mengenai anugerah tersebut, Muhyiddin berkata, ia diwujudkan buat julung kali bagi memberi pengiktirafan serta penghargaan kepada semua PIBG yang terbukti kemampuannya dalam mengurus persatuan secara berkesan dan berkualiti.

Tambahnya, anugerah itu amat relevan dengan matlamat supaya ibu bapa dapat memainkan peranan bersama pihak sekolah dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi sebagaimana digariskan kerajaan. - UTUSAN

...

No comments:

Post a Comment