My Add

Thursday 26 April 2012

Pindaan akta perangi cetak rompak disambut baik

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 April, 2012: Pengusaha pawagam menyambut baik pindaan Akta Hakcipta 1987 baru-baru ini yang membolehkan mereka dan pihak berkuasa menghukum mereka yang menggunakan kamkoder untuk merakam filem di pawagam secara haram.

"Ia adalah satu kelebihan yang disambut baik dalam usaha kami terhadap kecurian filem. Peruntukan baru ini akan membenarkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penggunanan kamkorder secara haram (di pawagam) terutama terhadap mereka yang mahu mengaut keuntungan," kata Setiausaha Persatuan Pempamer Filem (MAFE) Irving Chee.

Beliau berkata undang-undang yang ditambah baik akan meningkatkan lagi usaha yang dilakukan pengusaha pawagam bagi memerangi kecurian filem.

Seksyen 43A bagi pindaan Akta itu baru-baru ini menyatakan bahawa mana-mana orang yang ditangkap menggunakan atau cuba menggunakan alat rakaman dalam pawagam boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau boleh dipenjara untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Pindaan itu diwartakan pada 9 Februari tahun ini.

Pada masa-masa lepas, pengusaha pawagam tidak dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku itu memandangkan tiada peruntukan di bawah Akta Hakcipta. Mereka yang ditangkap semasa membuat rakaman biasanya diminta untuk memadamkan klip filem itu dan dilepaskan dengan amaran.

Naib Pengerusi MAFE, Kenny Wong berkata pindaan itu menandakan satu pencapaian yang besar bagi industri pawagam tempatan.

"Malaysia kini menyertai Hong Kong, Jepun dan Filipina yang meluluskan undang-undang antikamkoder yang sama. Kita akan terus memerangi kegiatan cetak rompak sehingga kami mencapai insiden sifar dalam pawagam kami," katanya.

Mengikut statistik dari Motion Picture Association (MPA), 69 insiden rakaman menggunakan kamkoder secara haram dikesan di pawagam-pawagam di Malaysia antara 2005 dan April 2012. Pada 2007 sahaja, terdapat 30 insiden yang sedemikian, tertinggi sejak tujuh tahun kebelakangan ini.

Antara 2005 dan April 2012, enam filem yang dirakamkan menggunakan kamkoder digunakan dalam pengeluaran cakera optik haram atau diperoleh dalam talian telah dipadankan secara forensik kepada pawagam-pawagam di Malaysia.

Bagaimanapun, statistik menunjukkan jumlah insiden rakaman menggunakan kamkoder secara haram menurun sejak 2010 berikutan pengusaha pawagam kini mengenal pasti individu yang terbabit dalam penggunaan kamkoder secara haram selain mengingatkan orang ramai supaya tidak membawa kamkoder atau alat-alat rakaman lain dalam pawagam.

Pegawai-pegawai MAFE juga berkata pemeriksaan rambang ke atas beg dan jaket di pawagam-pawagam akan diteruskan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment