My Add

Friday 13 April 2012

PM, TPM lawat Pulau Pinang 22, 26 April

GEORGETOWN, JUMAAT, 13 April, 201: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang pada 22 dan 26 April ini. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, berkata Najib dijadual memulakan lawatan kerja pada 22 April ini dengan mengadakan perjumpaan bersama lebih 5,000 anggota jentera pilihan raya parti kompoen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang pada 9.30 pagi di Bukit Jawi Golf Club di Nibong Tebal.

"Najib kemudian akan menyertai lebih 25,000 untuk makan tengah hari pada majlis Kenduri Rakyat 1Malaysia di Kampung Simpang Tiga di Nibong Tebal,", katanya di sini hari ini.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Dialog Bersama Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili kaum Cina dan India di Universiti Sains Malaysai (USM) di sini sebelum berlepas pulang ke ibu negara pada 6 petang. 

Beliau berkata, Muhyiddin pula dijadual memulakan lawatan kerja pada 26 April ini dengan menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kilang di kilang Western Digital di Bayan Lepas di sini pada 9.30 pagi. 

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual makan tengah hari pada "Jamuan Rakyat" bersama lebih 5,000 penduduk kawasan Bayan Baru, persatuan nelayan dan peladang di Taman Iping, Batu Maung di sini. 

Muhyiddin kemudian akan merasmikan Karnival NGO Pulau Pinang di kampus Politeknik Seberang Perai. 

Zainal Abidin berkata, lebih 10,000 orang akan menyertai karnival anjuran gabungan pelbagai NGO di seluruh negeri itu. 

Beliau akan mengakhiri lawatan kerjanya pada sebelah petang dengan menghadiri majlis perjumpaan bersama lebih 5,000 rakyat di Juru, Batu Kawan di Seberang Perai sebelum belepas pulang. 

Zainal berkata, kedua-dua pemimpin negara itu dijangka akan menyampaikan amanat penting kepada rakyat Pulau Pinang sempena Pilihan Raya Umum ke-13. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment