My Add

Saturday 21 April 2012

PNB contoh terbaik kumpul dana besar rakyat

NAJIB diiringi Musa bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Perdana Bersama Rakyat 1Malaysia Parlimen Sandakan dan Batu Sapi di Sandakan, semalam. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU, JUMAAT, 20 April, 2012: Datuk Seri Najib Razak berkata, Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah antara contoh kejayaan terbaik selaku institusi yang mengumpul dana besar rakyat dan dimanfaatkan ke arah memacu pembangunan ekonomi negara.
Perdana Menteri berkata, unit dalam edaran semasa berjumlah RM144 bilion yang diuruskan PNB memadai dalam membuktikan sokongan dan kesedaran tinggi segenap lapisan rakyat untuk menabung demi masa depan.
Katanya, rakyat Sabah tidak ketinggalan memanfaatkan kemudahan itu dan dilaporkan berada di tangga kelima senarai dari segi jumlah pelaburan di seluruh negara.


“Sambutan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012 turut menandakan kita meraikan kejayaan negara secara keseluruhan. PNB adalah kejayaan yang mempunyai dimensi besar dan boleh dibanggakan kerana institusi ini mengumpul dana besar untuk negara dan seterusnya memacu pembangunan ekonomi secara baik.

“Sebagai kerajaan, kita akan terus mengusahakan pelbagai kejayaan demi keselesaan rakyat,” katanya ketika melancarkan MSAM 2012 di Kompleks Sukan Likas, di sini semalam.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

MSAM 12 yang berlangsung hingga 28 April ini adalah edisi ke-13 diadakan dan pertama kali Sabah dipilih sebagai tuan rumah. 
Najib berkata, MSAM perlu dimanfaatkan sebagai landasan untuk mendidik rakyat mengenai peluang pelaburan dan sifat menabung yang boleh membantu mereka menguruskan masa depan secara lebih teratur.

“Saya lihat Sabah mempunyai banyak peluang menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) seperti tenaga diperbaharui, industri sawit peringkat hiliran, ternakan rumpai laut dan pembukaan ladang mini serta pelancongan.

“Ini peluang baik untuk meninjau ruang dan peluang pelaburan dalam kumpulan PNB kerana dengan cara itu, kita dapat menjamin pembangunan ekonomi dengan mempelbagaikannya di setiap sektor dan tidak bertumpu di kawasan tertentu saja,” katanya.

Menyatakan kebanggaannya dengan pencapaian syarikat Kumpulan PNB yang dikategorikan berskala besar dan menawarkan saham mewah, Perdana Menteri berkata, keadaan itu wajar menjadi pemangkin bagi PNB memperluaskan aktivitinya termasuk menambah pelaburan di seluruh negara.

“MSAM 2012 wajar menyemarakkan sikap positif pelabur terhadap unit saham kendalian PNB dan saya harap Sabah mendapat suntikan tambahan menerusi peningkatan peranan PNB di negeri serba indah ini. Impian kerajaan menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi bukan janji kosong atau tidak berpijak di bumi nyata,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment