My Add

Wednesday 25 April 2012

PTPTN: RM2.72 juta dipulangkan kepada peminjam

TEMERLOH, RABU, 25 April, 2012: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memulangkan hasil pelarasan lima peratus kepada tiga peratus hingga satu peratus membabitkan RM2.72 juta kepada seramai 3,229 peminjam sehingga 31 Mac lalu.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, dalam tempoh sama juga PTPTN sudah meluluskan pinjaman sebanyak RM43.85 bilion kepada 1.96 juta pelajar melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi dalam negara.

"Sehingga 31 Mac lalu, sepatutnya seramai 1,052,693 peminjam membabitkan peruntukan RM6.84 bilion membayar balik pinjaman. Namun demikian atas faktor tertentu seperti sakit, melanjutkan pelajaran keluar negara, PTPTN meluluskan penangguhan kepada 31,606 peminjam terbabit," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Minda di perkampungan Orang Asli Penderas petang semalam.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, sehingga kini PTPTN menerima RM3.18 bilion bayaran balik pinjaman daripada 759,526 peminjam.

Katanya, peminjam yang dikenakan tindakan dan tidak memberikan sebarang jawapan setelah dihubungi PTPTN adalah seramai 261,561 orang membabitkan pinjaman RM1.48 bilion.

Ismail berkata, sejak ditubuhkan lebih 15 tahun lalu, PTPTN meluluskan pinjaman sebanyak RM43.85 bilion, dan pada tahun ini sahaja PTPTN memperuntukkan RM5.05 bilion untuk diberikan kepada peminjam, iaitu RM3.37 bilion kepada peminjam sedia ada, dan RM1.68 bilion kepada peminjam baru.

Katanya, tahun ini sehingga Mac 2012, PTPTN telah meluluskan pinjaman sebanyak RM888.75 juta kepada 36,701 pelajar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment