My Add

Friday 20 April 2012

RapidKL keluarkan peraturan baru untuk pemandu

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 April, 2012: RapidKL tidak lagi mewajibkan pemandu basnya mencapai jumlah trip tertentu dalam sehari bagi melayakkan mereka mendapat elaun tambahan sebagai langkah menambah baik perkhidmatannya untuk penumpang. 

Pengarah Bahagian Bas RapidKL, Zohari Sulaiman, berkata peraturan baru itu, yang berkuat kuasa awal bulan ini, diharap dapat mengurangkan jumlah sungutan mengenai pemandu bas syarikat berkenaan, yang dikatakan sering melencong dari laluan yang ditetapkan untuk memenuhi trip masing-masing.

"Kami sudah memaklumkan kepada pemandu kami supaya mengikut sepenuhnya laluan masing-masing, tanpa mengira keadaan trafik. Mereka tidak perlu tergesa-gesa kerana kami sudah membuat keputusan untuk memansuhkan syarat berkaitan trip minimum yang perlu mereka penuhi untuk mendapat elaun insentif," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zohari berkata, beliau juga mendapat tahu bahawa sesetengah pemandu bas membuat keputusan sendiri menggunakan jalan pintas apabila bas yang mereka pandu sarat dengan penumpang. 

"Kami akan sentiasa mengingatkan pemandu bas kami mengenai perkara ini untuk memastikan mereka tidak mengambil jalan pintas dan mereka tidak mengelak mana-mana hentian bas serta beroperasi mengikut sistem berpandukan laluan yang diluluskan. 

"Kami akan terus membuat pemantauan rapi terhadap pemandu bas dan mereka yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tatatertib," katanya sambil menambah bahawa RapidKL juga sedang merangka insentif baru untuk pemandunya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment