My Add

Friday 20 April 2012

Sebutan semula kes bekas setiausaha politik menteri 8 Mei

SHAH ALAM, JUMAAT, 20 April, 2012: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan semula kes Hasbie Satar, bekas setiausaha politik, yang menghadapi 28 tuduhan membabitkan pengubahan wang haram. 

Hakim Mohd Fadhir Harun menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan yang diwakili peguam Y Sheelan Samuagam.
Sheelan memohon satu tarikh sebutan singkat bagi membolehkan beliau merujuk kepada peguam utama kes itu, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah mengenai penetapan tarikh perbicaraan.

Sheelan berkata, Muhammad Shafee kini berada di luar negara dan dijangka pulang ke tanah air akhir bulan ini. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hazril Harun yang mewakili pendakwaan, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sudah menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan pagi ini. 

Pada 20 Mac lalu, Hasbie, 39, yang hadir di mahkamah memakai sut kelabu mengaku tidak bersalah terhadap 28 tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu transaksi mendepositkan wang tunai berjumlah RM935,000 ke akaun 11 individu termasuk anggota keluarganya. 

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa bank dan Tabung Haji di tiga lokasi iaitu Salak Tinggi, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya antara 4 Disember 2008 hingga 18 Jun 2009. 

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh sedang dibicarakan atas satu lagi tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM2.134 juta di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment