My Add

Thursday 26 April 2012

SMA Al-Ehya El-Karim muncul pemenang PIBG cemerlang

MUHYIDDIN mengucapkan tahniah kepada Zaid Md. Saman (dua dari kanan) sambil diperhatikan Dr. Wee Ka Siong (dua dari kiri) dan Abd. Ghafar Mahmud (kanan) pada majlis Anugerah Cemerlang PIBG Kebangsaan 2011, di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KUALA LUMPUR, RABU, 25 April, 2012: Sekolah Menengah Agama (JAIM) Al-Ehya El-Karim dari Melaka muncul pemenang sulung Anugerah Cemerlang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan yang baru diperkenalkan.

Sekolah tersebut dipilih sebagai pemenang kerana kemampuannya mengurus PIBG secara berkesan sehingga membolehkan pelbagai program berkualiti dilaksanakan hasil sumbangan ibu bapa dan pihak berkepentingan.

Kemenangan itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang wang tunai RM50,000, Piala Pusingan Menteri Pelajaran serta sijil penghargaan.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Pada majlis sama, Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield dari Selangor muncul PIBG cemerlang bagi kategori sekolah menengah manakala Sekolah Kebangsaan Methodist Kuantan, Pahang pula pemenang bagi kategori sekolah rendah.

Kedua-dua sekolah berkenaan membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta sijil penghargaan.

Sementara itu, Pengerusi PIBG SMA Al-Ehya El-Karim, Zaid Md. Saman berkata, pihak persatuan memang merangka dan menggerakkan pelbagai program secara berterusan untuk tempoh sepanjang tahun.

Jelasnya, hasil kerjasama agresif antara PIBG dan pihak pengurusan sekolah, mereka berjaya mengumpul dana RM1 juta dan membina sebuah asrama serbaguna walaupun jumlah pelajar hanya 370 orang.

“Hasil daripada dana inilah yang kami guna untuk membiayai kelas tambahan, ceramah motivasi, menyediakan makanan cerdas minda kepada semua pelajar setiap hari serta membekalkan peralatan peperiksaan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment