My Add

Thursday 26 April 2012

SPR jawab fitnah pembangkang

KUALA LUMPUR, 25 April, 2012:
Dakwaan: SPR sengaja membetulkan sempadan kawasan pilihan raya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen bertujuan meramaikan pengundi di satu-satu kawasan bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) beroleh kemenangan pada PRU Ke-13. 

Penjelasan: Dakwaan itu adalah fitnah dan tidak berasas sama sekali. SPR tidak pernah melakukan perubahan terhadap sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya DUN atau Parlimen kerana urusan berkenaan hanya boleh dilakukan apabila tiba masanya mengikut peruntukan Perkara 113(A) Perlembagaan Persekutuan.

SPR mengumumkan bahawa urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya hanya akan diadakan apabila tiba masanya selepas PRU-13. SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu apabila tiba masanya nanti.

Apa yang sebenarnya berlaku sebelum ini mengikut peruntukan kuasa di bawah sub peraturan 25(3) Peraturan-eraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, melalui kuasa Ketua Pendaftar adalah tindakan SPR membetulkan lokaliti yang mengandungi nama-nama pemilih yang tersalah letak ketika proses penetapan kedudukan lokaliti (sebelum 2004) yang dibuat secara manual. 

Oleh kerana kedudukan lokaliti berkenaan tersalah letak, maka selaras dengan peruntukan undang-undang, SPR perlu membetulkan kedudukan dalam bahagian pilihan raya yang sepatutnya pemilih dalam lokaliti berkenaan didaftarkan. 

SPR menyedari kedudukan beberapa lokaliti yang tersalah letak hanya selepas Sistem EGIS (Electoral Geographical Information System) diguna pakai pada 2004. Melalui peruntukan kuasa yang ada, SPR membuat pembetulan kedudukan lokaliti yang tersalah letak di seluruh negara yang membabitkan 19,342 pemilih. 

Pemilih mengikut lokaliti berkenaan perlu ditempatkan dalam kawasan pilihan raya yang sebenarnya seperti yang wujud di lapangan.

Perlu ditekankan bahawa pembetulan lokaliti itu tidak sama sekali membabitkan perubahan kepada mana-mana garis sempadan bahagian pilihan raya DUN ataupun Parlimen. Sebaliknya, dengan pembetulan kedudukan pemilih mengikut lokaliti maka mereka akan mengundi dalam bahagian pilihan raya yang betul mengikut kedudukan alamat di dalam daerah mengundi dan DUN yang sebenarnya. 

Selepas pembetulan lokaliti, SPR memaklumkan secara rasmi melalui surat pemberitahuan yang dialamatkan kepada semua pemimpin parti politik dalam bahagian pilihan raya yang berkenaan. 

SPR beranggapan parti politik melalui pemimpin mereka di peringkat daerah mengundi dan DUN menyedari tindakan SPR dan seterusnya memaklumkan kepada pemilih di kawasan masing-masing. Tetapi, ramai pemilih yang memberi maklum balas kepada SPR mereka tidak menyedari berlaku pembetulan kedudukan nama mereka mengikut lokaliti di mana mereka didaftarkan. 

Justeru, bagi menghadapi PRU-13 akan datang, SPR akan menulis surat pemberitahuan perkara itu kepada semua pemilih terbabit di kawasan yang berkenaan di seluruh negara. - BERITA HARUAN

No comments:

Post a Comment