My Add

Thursday 26 April 2012

Status pengundi diragui kekal hingga pengesahan JPN: SPR

Tan Sri Abdul Aziz Yusof
PUTRAJAYA, KHAMIS, 26 April, 2012: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata nama 40,803 pengundi yang status mereka diragui perlu dikekalkan dalam Daftar Pemilih Induk sehingga status mereka disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 

Beliau berkata, undang-undang tidak membenarkan nama dalam daftar pemilih dipotong sewenang-wenangnya tanpa pengesahan oleh pihak JPN.

"SPR hanya memotong nama-nama mereka daripada daftar pemilih selepas mendapat pengesahan secara rasmi daripada JPN," katanya sebagai menjawab dakwaan SPR gagal membersihkan daftar pemilih dalam buku "Fakta Sebenar Di Sebalik Dakwaan dan Fitnah Terhadap SPR".

Beliau berkata, selagi pengesahan muktamad dari JPN tidak diperolehi, semua nama 40,803 pemilih berkenaan perlu dikekalkan di dalam Daftar Pemilih Induk bagi menjamin hak mereka dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, hasil semakan berterusan antara SPR dan JPN sehingga 28 Mac lalu, jumlah daftar pemilih yang diragui statusnya berkurangan kepada 40,803 daripada 42,051 sebelum ini. 
Pengurangan itu berikutan terdapat pemilih yang tampil ke JPN untuk mengemas kini maklumat kad pengenalan dan ada waris yang hadir membawa bukti kepada JPN mengenai kematian anggota keluarga atau saudara mereka," katanya. 

Abdul Aziz berkata, SPR akan mengambil langkah berterusan membersihkan Daftar Pemilih dengan mempamerkan senarai itu selama tiga bulan untuk memberi peluang kepada orang ramai tampil untuk mengemas kini. 

Katanya, dalam tempoh itu juga SPR mengedarkan senarai nama tersebut ke ibu pejabat semua parti politik utama serta pemimpin politik di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara. 

"Ia bertujuan untuk mendapatkan bantuan dalam usaha mencari pengesahan dan maklum balas berhubung dengan kedudukan alamat dan status terkini pemilih-pemilih berkenaan. 

"Dukacita sepanjang tempoh itu sambutan diterima oleh SPR sama ada dari parti politik atau orang ramai amat dingin," katanya. 

Menjawab dakwaan mengenai SPR mendaftar pemilih terdiri daripada warga asing yang mendapat taraf warganegara, Abdul Aziz berkata hanya warganegara Malaysia, berumur 21 tahun dan ke atas sahaja layak serta berhak menjadi pengundi. 

Beliau menegaskan mustahil bagi bukan warganegara atau warga asing dapat mendaftar sebagai pengundi kerana permohonan menjadi pengundi diproses melalui sistem komputer dan mengikut tatacara pemerosesan ditetapkan di bawah undang-undang. 

"Jadi tidak timbul soal tentang siapa atau apa jua latar belakang seseorang warganegara itu apabila ia memohon untuk menjadi pemilih," katanya. 

Mengenai masih ramai pemilih berusia lebih 100 tahun berada dalam daftar pemilih, beliau menjelaskan pemotongan nama hanya boleh dibuat atas dua sebab iaitu pemilih meninggal dunia mengikut pengesahan rekod di JPN dan keduanya pengesahan hilang kelayakan sebagai pengundi mengikut bukti pengesahan dari jabatan yang berwajib. 

"Walaupun umur seseorang pemilih itu sudah melangkaui 100 tahun, undang-undang tidak membolehkan SPR untuk memotong nama mereka sesuka hati atas anggapan bahawa mereka mungkin sudah meninggal dunia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment