My Add

Saturday 14 April 2012

Sultan Johor harap Mersing jadi bandar pelancongan terkenal

MERSING, SABTU, 14 April, 2012: Sultan Johor, Sultan Ibrahim berharap projek ekopelancongan Mersing Laguna bernilai RM22 bilion akan menjadikan Mersing sebagai bandar pelancongan terkenal di mata dunia.

Titah baginda, sejak dibuka pada 1892, Mersing tidak membangun dengan pesat berbanding bandar lain di negeri ini sekalipun mempunyai kekayaan alam semula jadi termasuk pulau yang indah.

"Pada hari ini bandar Mersing hanya menjadi laluan dan tempat persinggahan pelancong untuk pergi ke pulau. Penduduk Mersing juga masih banyak bergantung kepada kegiatan ekonomi perikanan yang bermusim dan sumber pendapatan yang tidak menentu.

"Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk rakyat Mersing berubah ke arah kehidupan yang lebih baik dengan sumber pendapatan yang lebih tinggi dan terjamin," titah baginda pada majlis pecah tanah projek pembangunan Mersing Laguna di Dataran Pulau, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; dan Ketua Pegawai Eksekutif Radiant Starfish Berhad, Ungku Safian Abdullah.

Sultan Ibrahim bertitah, projek Mersing Laguna itu akan membawa limpahan rezeki kepada penduduk dan mahu mereka mempersiapkan diri untuk merebut peluang pekerjaan dalam bidang pelancongan agar tidak lagi terus menjadi nelayan atau bergantung kepada bantuan kerajaan.

Pada masa sama, baginda turut meminta penduduk Mersing memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap usaha menaik taraf bandar itu dengan tidak bersifat cemburu, menabur fitnah atau cuba mengkhianati usaha murni yang hendak dilaksanakan.
 
Titah baginda, pihak pemaju dan kerajaan sudah menjalankan kajian yang mendalam yang mengambil kira semua faktor serta kesan projek berkenaan terhadap penduduk dan alam sekitar.

"Suka saya ingatkan di sini, supaya jangan ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan bertindak membuat bantahan atau tuntutan yang bukan-bukan untuk kepentingan diri sendiri atau kepentingan politik.

"Sebagaimana semua maklum, saya memang sering datang ke Mersing yang menjadi tempat permainan saya sejak kecil lagi.

"Oleh itu, saya sendiri akan sentiasa mengawasi kemajuan projek ini dan memastikannya dibuat dengan baik. Sekiranya penduduk Mersing mempunyai masalah yang berkaitan dengan projek ini, maklumkanlah kepada Pegawai Daerah yang akan menyampaikan masalah tersebut kepada saya," titah baginda.

Mersing Laguna yang dijangka mengubah wajah Mersing daripada bandar pantai yang sepi kepada destinasi pelancongan antarabangsa itu dibangunkan Radiant Starfish Development Berhad dan dijadual siap menjelang 2019.

Pusat peranginan itu yang dibangunkan menggunakan konsep tebus guna tanah membabitkan kawasan seluas 809 hektar dan akan dilengkapi 22 hotel, 4,000 vila dan pangsapuri servis, kemudahan marina dan beberapa pusat komersial. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment