My Add

Wednesday 25 April 2012

Syarikat sanggup beri RM1j kepada atlit raih emas Olimpik

KUALA LUMPUR, RABU, 25 April, 2012: Sebuah syarikat swasta sanggup menyumbang RM1 juta kepada atlit negara yang meraih emas pertama dalam kejohanan Olimpik London Julai ini. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Seu yang mengumumkan perkara itu bagaimanapun enggan mendedahkan identiti syarikat terbabit buat masa ini.

Beliau berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada keputusan rasmi mengenainya.

"Saya harap lebih banyak lagi pihak terutamanya syarikat swasta tampil untuk memberi sumbangan. 

"Bukan saja untuk ganjaran pingat emas Olimpik. tetapi juga sebagai penaja kepada program pembangunan sukan yang dijalankan kerajaan," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian rancangan televisyen 'Jejak ke London' di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini hari ini. 

Kerajaan sebelum ini turut mengumumkan ganjaran RM1 juta kepada atlit negara yang meraih emas pertama Olimpik.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan atlit ke London iaitu ratu terjun Pandelela Rinong, rakan sepasukan Bryan Nickson Lomas serta atlet memanah Cheng Chu Sian. 
Mengenai rancangan tv terbabit, Gan berkata, program bersiri itu akan memaparkan persiapan dan perjuangan atlit, pegawai dan individu di belakang tabir yang menggerakkan program Road to London 2012. 

"Menerusi rancangan ini, diharap lebih ramai lagi akan memberi sokongan kepada atlet kita selain sebagai kesedaran dan pendidikan tentang sukan berprestasi tinggi di negara ini," katanya. 

Rancangan 30 minit itu memuatkan 13 episod yang akan mula ditayangkan di Astro Arena (Saluran 801) pada jam 12 tengah hari Sabtu ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment