My Add

Monday 16 April 2012

Terminal Sejahtera pertama dibina di Sabah

Oleh FARHANA JONI

PENAMPANG, ISNI, 16 April, 2012: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar hari ini mengumumkan Terminal Sejahtera pertama sedang dibina di Sabah bagi memberi manfaat kepada masyarakat yang berpendapatan rendah.

Menurut menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, pembinaan terminal tersebut kini berada dalam fasa terakhir dan akan mula beroperasi dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Terminal Sejahtera ini merupakan inisiatif kementerian bagi memastikan kualiti pendidikan anak-anak golongan miskin di kawasan bandar terus mendapat perhatian.

"Kerajaan telah membina sebanyak 17 Terminal Sejahtera di seluruh negara, enam daripadanya telah dibina di Kuala Lumpur dan 11 lagi akan dibina di negeri-negeri lain," katanya pada sidang akhbar di program ziarah Kesejahteraan Bandar di Penampang dekat sini hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri di Kementerian Kewangan Sabah, Donald Peter Mojuntin dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Matious Sator.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Jelas Raja Nong Chik, kos pembinaan Terminal Sejahtera itu menelan kos sebanyak RM770,000 selain turut menyediakan tenaga pengajar dan lengkap dengan makmal komputer bagi membantu anak-anak masyarakat di daerah berkenaan mempunyai ruang belajar yang selesa.

"Saya yakin melalui kemudahan terminal ini, kita mampu meningkatkan prestasi pembelajaran anak-anak di daerah Penampang agar lebih cemerlang," katanya.

Tambahnya, pihaknya akan melihat perkembangan terminal itu dahulu sebelum merancang untuk membina di daerah lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment