My Add

Saturday 21 April 2012

Terus kukuh sebagai firma pelaburan negara

KOTA KINABALU, JUMAAT, 20 April, 2012: Permodalan Nasional Berhad (PNB) terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai firma pelaburan negara dengan menguruskan unit saham dalam edaran sebanyak 144 bilion dengan bilangan pelabur sebanyak 10.85 juta orang.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, daripada jumlah pelabur itu, 9.6 juta adalah pelabur bumiputera dan 1.2 juta bukan bumiputera dengan secara purata pegangan pelaburan setiap pemegang akaun 13,224.5 unit.

Menurut beliau, syarikat milik penuh Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) iaitu Amanah Mutual Bhd (AMB) menguruskan sejumlah 4.26 bilion unit dalam edaran melalui 17 dana dengan jumlah pemegang akaunnya seramai 55,000 orang, membabitkan pelaburan bernilai RM3.72 bilion.

Tambah beliau, sehingga hari ini PNB memegang ekuiti dalam lebih 200 buah syarikat yang mampu menyalurkan dividen kepada PNB untuk diagihkan kepada pelabur-pelabur.

''PNB juga memiliki hartanah yang mampu memberi pendapatan yang stabil dan kukuh dalam jangka panjang menerusi unit Amanah Pelaburan Hartanah (REITs) dengan nilai RM1.33 bilion," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini hari ini.

Majlis perasmian MSAM 2012 itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, pemilikan hartanah secara terus oleh PNB di dalam dan luar negara kini bernilai RM7.36 bilion. Hartanah milik PNB di dalam negara termasuk Bangunan MAS, Kenanga International, Menara MIDF dan lain-lain bernilai RM607.6 juta.

''Di luar negara pula, PNB telah pun memiliki Santos Place di Brisbane, Australia dan Milton & Shire House, 90 High Holborn dan One Exchange Square di London," tambahnya.

Ahmad Sarji berkata, PNB memperolehi kadar sewa yang lumayan daripada firma dan agensi antarabangsa daripada bangunan-bangunan yang bernilai RM4.88 bilion itu.

Dalam ucapannya, beliau berkata, sehingga ini PNB mengagihkan dividen dan bonus yang berjumlah lebih RM91 bilion.

Katanya, pelabur bukan bumiputera telah melanggan sepenuhnya unit-unit amanah saham berharga tetap yang diperuntukkan sebanyak 24.6 bilion unit kepada mereka.

Bagaimanapun, masih ada beberapa unit amanah yang boleh dilanggan oleh pelabur bumiputera dan bukan bumiputera bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang yang masih berbaki 869.2 juta unit, Amanah Saham Gemilang (864.1 juta unit) dan Amanah Saham 1Malaysia sebanyak 2.84 bilion unit untuk bumiputera. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment