My Add

Saturday 14 April 2012

Tingkatkan kefahaman budaya kaum lain: TPM

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 13 April, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengajak rakyat meningkatkan kefahaman tentang budaya dan perayaan masyarakat di negara ini seperti Sikh bagi menyuburkan perpaduan nasional.

Dalam perutusannya sempena Hari Vaisakhi yang diraikan lebih 100,000 masyarakat Sikh negara ini esok, Muhyiddin berkata perasaan hormat menghormati dapat disemai dan dipupuk dengan memahami budaya kaum lain.

"Sememangnya sudah menjadi amalan kita sebagai rakyat Malaysia, perayaan-perayaan seperti ini adalah masa untuk kita lebih mengenali dan memahami antara satu sama lain demi untuk mengukuh dan menyuburkan lagi perpaduan nasional," katanya.

Tertarik dengan keunikan sambutan Hari Vaisakhi, Muhyiddin berkata kehadiran penganut Sikh sebagai sebahagian daripada masyarakat majmuk di negara ini tetap mendapat pengiktirafan dan sentiasa dihormati sama seperti rakyat yang menganut agama lain.

Beliau berkata, sambutan Vaisakhi yang diadakan sekali setahun tentunya menimbulkan kemeriahan bukan saja di kalangan masyarakat Sikh malah kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Marilah kita bersama-sama meneruskan kesejahteraan hidup di bumi Malaysia yang amat bertuah kerana dikurniakan nikmat keharmonian dan keamanan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment