My Add

Wednesday 25 April 2012

TPM lancar pembiayaan PKS patuh syariah

BACHOK, SELASA, 24 April, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Skim Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Patuh Syariah bernilai RM2 bilion untuk membantu usahawan dan peniaga kecil di seluruh negara.

Skim tersebut dilancarkan pada Majlis Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana - Jom Niaga di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Perdana di sini.

Muhyiddin turut mengumumkan skim tersebut akan dikendalikan oleh 13 institusi perbankan Islam yang mengambil bahagian.

"Kerajaan Persekutuan akan membiayai dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan oleh bank yang dikenakan kepada PKS," ujarnya.

Menurutnya, dana tersebut ditawarkan dalam bentuk rebat dua peratus bagi permohonan pembiayaan berjumlah sehingga RM5 juta yang diluluskan sehingga 2013.

"Rebat itu khas untuk membantu PKS yang menjalankan aktiviti perniagaan dalam semua bidang yang patuh syariah kecuali perkhidmatan kewangan.

"Saya amat yakin ramai pengusaha PKS yang layak memohon akan mendapat manfaat daripada kos pinjaman lebih rendah daripada institusi perbankan Islam terlibat melalui rebat yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Pengerusi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corporation Malaysia), Datuk Ir. Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Presiden Persatuan Institut Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Mohd. Reza Shah Abdul Majid.

Muhyiddin berkata, usaha tersebut mencerminkan bagaimana pihak swasta begitu bersungguh-sungguh menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

"Ini juga merupakan satu lagi bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang amat komited dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat di segenap lapisan termasuk juga golongan usahawan di seluruh negara," katanya.

Katanya, semua komitmen kerajaan itu adalah bagi mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Kerajaan BN banyak memperkenalkan usaha untuk memastikan ekonomi negara dapat dirancakkan melalui dasar kerajaan yang menyokong serta membantu melonjakkan lagi para usahawan PKS ke peringkat tinggi, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment