My Add

Thursday 26 April 2012

Transformasi adalah kehendak rakyat: Muhyiddin

GEORGE TOWN, KHAMIS, 26 April, 2012: Program Transformasi Negara yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya adalah sebagai memenuhi kehendak rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, usaha membuat perubahan secara menyeluruh atau dikenali sebagai transformasi dalam sistem kerajaan dan pindaan beberapa undang-undang dicetuskan hasil mendengar suara rakyat menerusi program-program turun padang oleh Perdana Menteri sendiri.

"Zaman kerajaan tahu semua sudah berakhir. Kerajaan mesti respons kepada keperluan rakyat. Semua program transformasi yang kerajaan buat adalah berasaskan kepada apa yang rakyat mahu," katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat 1Malaysia di Persiaran Mahsuri, Bayan Baru dekat sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan sekarang bersikap terbuka dan akur dengan kehendak rakyat yang mahukan penambahbaikan dalam sistem pentadbiran negara.

Muhyiddin berkata disebabkan itu, kerajaan meneliti semua permintaan rakyat termasuklah memberi bantuan wang tunai kepada pelajar, Baucar Buku 1Malaysia kepada penuntut institusi pengajian tinggi dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk golongan berpendapatan rendah.

Katanya di Pulau Pinang sahaja, sebanyak RM80 juta bantuan BR1M diagihkan kepada 300,000 buah keluarga dan negeri yang tertinggi menerima BR1M ialah Kelantan dengan 92 peratus penduduk di negeri itu telahpun menerimanya.

Beliau berkata pembangunan dan kemajuan yang dikecapi negara sekarang ini adalah hasil usaha kerajaan persekutuan dan beliau berharap rakyat sedar dengan inisiatif kerajaan itu.

Pada majlis itu, Muhyiddin juga mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi pembangunan kemudahan asas di kawasan Parlimen Bayan Baru.

Antara peruntukan itu termasuklah projek mengecat dan membaiki rumah kos rendah Desa Permai Indah Sungai Dua, Batu Uban yang berharga RM2 juta dan membina madrasah di Sungai Nibong Kecil yang berharga RM450,000.

Ini termasuk menaiktaraf dan membaik pulih dewan persatuan penduduk dan taman permainan kanak-kanak Taman Desa Wangsa Permatang Damai Laut (RM100,000), kerja mengecat menaiktaraf perumahan kos rendah Desa Riang Batu Uban (RM600,000) dan pertubuhan peladang dan nelayan negeri (RM65,000). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment