My Add

Sunday 15 April 2012

Undang-undang baru ganti ISA tidak hadkan kuasa PDRM

KLUANG, AHAD, 15 April, 2012: Undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan menghadkan kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata PDRM berpuas hati mengenainya dan yakin dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

"Sememangnya akta baru itu tidak boleh dibentang sekiranya polis sebagai 'end user' yang memastikan keselamatan negara sendiri tidak selesa dengan akta baru berkenaan.

"Jadi saya bagi jaminan hari ini, PDRM maklumkan apa yang akan dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok, mereka (PDRM) yakin mereka dapat jamin keselamatan dan ketenteraman awam," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, Kabinet juga bersetuju untuk memperkasakan PDRM bagi meningkatkan keupayaan pasukan daripada segi menjalankan siasatan, perundangan, risikan, pemantauan dan hubungan dua hala dengan negara jiran. 

"Saya hendak beritahu bahawa perbincangan mengenai undang-undang menggantikan ISA ini dibuat dengan dengan pihak berkepentingan seperti Suhakam, Majlis Peguam dan badan bukan kerajaan sejak tahun 2009 yang mengambil kira beberapa perkara termasuk tempoh tahanan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment