My Add

Tuesday 24 April 2012

Wakil rakyat tidak dicalonkan jadi anak angkat Mubarak

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 April, 2012: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) akan menjadikan wakil rakyat UMNO atau Barisan Nasional (BN) yang tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang sebagai anak angkat bagi memastikan mereka terus setia dalam perjuangan parti.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata, ini merupakan cabaran besar kepada Mubarak kerana ada di antara mereka ini setelah tidak terpilih bertukar menjadi golongan yang kecewa.

"Orang yang tidak terpilih jadi calon, kita pujuk...itu satu cabaran besar dan kita faham perasaan mereka ini yang akan ada rasa kecewa. Kita akan jadikan mereka anak angkat," kata Abdul Aziz kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku 100 Wira Negara yang disusun oleh beliau sendiri, di sini hari ini.

Buku itu yang dijual pada harga RM60 senaskhah dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Abdul Aziz berkata, pada masa sekarang pun, ahli-ahli Mubarak sudah mula keluar untuk menjalankan perang saraf dalam usaha membantu kerajaan BN menang pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memberi amanah khas kepada Mubarak untuk membantu mengembalikan negeri-negeri di bawah pembangkang ke pangkuan BN semula. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment