My Add

Thursday 3 May 2012

18 kawasan terjejas akibat banjir kilat di ibu negara

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Sebanyak 18 kawasan di sekitar Kuala Lumpur terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat yang melanda Lembah Klang, semalam. 

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata kawasan terbabit termasuk Bandar Sri Permaisuri, Jalan Yaakob Latiff, Bulatan Cheras, Salak Selatan, Sri Rampai, Jalan Ipoh, Kepong, Jalan Tun Razak, Kampung Setia Jaya dan Setapak.

"Selain itu tanah runtuh turut berlaku di enam kawasan termasuk Taman Melati dan Seksyen 5, Wangsa Maju, selain insiden pokok tumbang di tiga kawasan iaitu di Stadium Bola Sepak Cheras, Taman Tun Dr Ismail dan Danau Kota," katanya kepada pemberita merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang 2012 Yayasan Pendidikan Titiwangsa di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir kilat itu ialah Kampung Puah di Wangsa Maju yang membabitkan 176 mangsa dari 33 buah rumah. 

Katanya, mangsa banjir di kawasan itu sudah ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Puah sementara menunggu banjir surut dan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). 

"Pasukan kecemasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak cepat dalam menyelaraskan pemberian bantuan kepada mangsa. Mereka juga akan menjalankan bancian bagi mengenal pasti jumlah kerugian sebenar," katanya sambil menambah JKM akan memberi bantuan makanan kepada mangsa untuk tempoh tiga hari bermula semalam. 

Katanya, kementerian akan meminta bantuan agensi berkenaan bagi menjalankan bacian dan mengenal pasti jumlah kerugian akibat banjir kilat di kawasan terjejas lain di Kuala Lumpur.

Raja Nong Chik berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi mengkaji semula sistem perparitan di sekitar ibu negara bagi memastikan sistem mampu menampung jumlah air hujan yang banyak dan mengurangkan insiden banjir kilat pada masa akan datang. 

Sementara itu, seramai 921 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di kawasan Parlimen Titiwangsa diraikan dalam majlis anugerah hari ini. 

Jumlah itu adalah yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun sejak dimulakan pada 2005 dan pelajar terbabit menerima ganjaran dalam bentuk wang tunai. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment