My Add

Wednesday 9 May 2012

19 GRO warga Thailand ditahan di Kelantan

KOTA BHARU, RABU, 09 Mei, 2012: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan menahan 19 wanita warga Thailand dalam serbuan ke atas sebuah kedai makan yang dijadikan pusat karaoke di Gua Musang, semalam. 

Ketua Bahagian Penguatkuasanya, Abdul Basek Abu Bakar, berkata serbuan dibuat kira-kira jam 11.30 malam ketika kira-kira 70 pelanggan berada di dalam pusat itu dan sebahagian besar adalah penduduk tempatan yang sedang menikmati hiburan dan minuman keras.

"Hasil pemeriksaan kami mendapati 19 orang adalah wanita warga Thailand yang dijadikan pelayan pelanggan (GRO) di situ," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Abdul Basek berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat orang ramai berhubung kegiatan sebuah restoran yang menggunakan wanita warga asing sebagai pelayan di pusat karaoke itu. 

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati semua wanita warganegara Thailand berusia antara 18 dan 44 tahun mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan mereka ditahan kerana disyaki melakukan kegiatan tidak bermoral. 

"Kami bawa mereka ke Pejabat Penguatkuasa di sini untuk siasatan lanjut dan ditahan sementara di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah sebelum tindakan susulan dibuat termasuk menghantar mereka pulang ke negara asal," katanya. 

Beliau juga berkata, sepanjang operasi yang dijalankan sebelum ini bermula 11 April hingga 6 Mei lalu seramai 1,101 warga asing diperiksa di Kelantan dan daripada jumlah itu, seramai 144 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan Imigresen. 

"Sebahagiannya sudah selesai siasatan dan dikenakan tindakan manakala sebahagian lagi masih dalam perbicaraaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment