BUKIT MERTAJAM, RABU, 09 Mei, 2012: Polis menahan dua lelaki di hadapan Politeknik Seberang Perai selepas mereka cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah, berkata dalam kejadian 6 petang itu, anggota polis peronda pada mulanya menahan kenderaan yang dinaiki dua lelaki berkenaan.
"Polis mengarahkan suspek supaya berhenti untuk pemeriksaan, bagaimanapun mereka terus memecut laju dan anggota polis terpaksa mengejar sejauh dua kilometer dan melepaskan tembakan ke arah kenderaan terbabit.
"Tembakan yang terkena pada tayar itu menyebabkan mereka terpaksa memberhentikan kereta mereka. Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu positif dadah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan dua lelaki terbabit cuba melarikan diri kerana terbabit dengan aktiviti jenayah.
"Kita percaya mereka cuba mengelak daripada ditahan polis kerana telah melakukan jenayah dan siasatan awal mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Azman berkata, ketika ditahan kedua-dua suspek yang juga warga tempatan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan lesen memandu.
Katanya, siasatan juga mendapati kenderaan yang dinaiki mereka adalah kereta sewa.
Mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment