My Add

Wednesday 9 May 2012

46,698 ditawar mengikuti program asasi, diploma di IPTA

PUTRAJAYA, RABU, 09 Mei, 2012: Sebanyak 46,698 pemohon berjaya ditawarkan tempat untuk mengikuti program asasi dan diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Politeknik Premier bagi sesi akademik 2012/2013.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata 218,931 permohonan diterima dan selepas ditapis 189,959 permohonan layak dipertimbangkan.

"Keputusan kemasukan sudah diumumkan pada 7 Mei lalu dan bagi calon yang ditawarkan tempat perlu menyatakan pengesahan penerimaan sebelum 15 Mei ini," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Rujhan berkata, kepada calon yang gagal mereka boleh mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan di http://upu/mohe.gov.my sebelum 18 Mei depan dan keputusan rayuan akan diumumkan pada minggu kedua Jun iaitu selepas pendaftaran kemasukan pelajar baru.

"Hanya seramai 143,261 saja layak mengemukakan rayuan. Jika tiada sebarang jawapan diterima dalam tempoh empat minggu selepas tarikh pendaftaran pelajar baru itu maka rayuan dianggap gagal. Keputusan rayuan adalah muktamad," katanya.

Rujhan mengingatkan bahawa rayuan perlu diisi sendiri pemohon kerana kementerian tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil dalam pengurusan pemilihan kes rayuan calon gagal mendapat tempat.

Beliau berkata, pelajar wanita masih mengatasi dan paling ramai ditawarkan tempat iaitu 27,178 berbanding pelajar lelaki, 19,520 orang. Seramai 36,566 ditawarkan dalam jurusan sains manakala 10,132 dalam jurusan sastera.

Seramai 69 pelajar di kalangan Orang Asli berjaya ditawarkan tempat daripada 187 permohonan yang diterima dan bagi orang kelainan upaya, seramai 71 orang ditawarkan tempat daripada 230 permohonan.

"Sebanyak 22,193 permohonan diterima daripada atlet sukan dan daripada jumlah itu seramai 8,905 ditawarkan tempat," katanya.

Politeknik Premier adalah Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Ibrahim Sultan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment