My Add

Friday 25 May 2012

60 peratus IPP akan dilanjutkan perjanjian

Oleh SARAH ROHIM
PUTRAJAYA, KHAMIS, 24 Mei, 2012: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) optimis kerajaan akan melanjutkan perjanjian 50 peratus hingga 60 peratus penjana tenaga bebas (IPP) selepas perjanjian pembelian tenaga (PPA) sedia ada berakhir 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, lanjutan tersebut akan diberikan memandangkan kebanyakan IPP telah membelanjakan keseluruhan perbelanjaan modal (capex) mereka dan dapat menawarkan harga lebih kompetitif.

''Berbanding IPP yang baru, mereka terpaksa memperuntukkan lebih banyak belanja dalam menyediakan perkhidmatan penjanaan tenaga, IPP sedia ada mampu menawarkan harga lebih kompetitif.

''Namun semuanya masih lagi bergantung kepada kerajaan untuk membuat keputusan kerana proses bidaan masih lagi berlaku dan hanya akan tamat pada penghujung Julai hadapan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis memeterai perjanjian perkhidmatan jangka panjang antara TNB dan Kumpulan Ikram Sdn. Bhd. (Ikram) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Pengerusi Ikram, Datuk Mohd. Ibrahim Mohd. Nor.

Tambah Che Khalib, satu perancangan telah dirangka kerajaan bagi memastikan perjanjian terbaharu itu, membolehkan kadar tarif terbaik dapat diwujudkan pada masa hadapan.

Menurut beliau, bidaan kadar tarif itu dilakukan selaras dengan usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Satu perancangan telah dirangka kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga dalam pembidaan yang akan dibuat di kalangan IPP untuk mendapatkan kadar tarif terbaik pada masa depan.

''Jadi, siapa yang membida pada kadar paling kompetitif, maka mereka yang akan dipilih," jelasnya.

Terdahulu, perjanjian antara TNB dan Ikram itu adalah bagi perkhidmatan kejuruteraan dan pembangunan kapasiti.

Sementara itu, Moggie berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak memberi manfaat dengan TNB dan Ikram mempunyai kepakaran dalam elektrik serta geo teknikal dan sivil. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment