My Add

Tuesday 15 May 2012

70% sekolah laksana program Guru Penyayang

KUALA KANGSAR, SELASA, 15 Mei, 2012: Sebanyak 70 peratus daripada 10,000 sekolah rendah dan menengah di negara ini telah melaksanakan Program Guru Penyayang sejak ia dimulakan Mac lepas, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Beliau berkata program itu dilaksanakan dengan tiga amalan iaitu mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah, memberi penghargaan kepada murid seperti sambutan hari jadi dan program mentor mentee.

"Daripada kaji selidik Indeks Prestasi Murid (IPM) yang dijalankan Bahagian Pendidikan terhadap 3,944 murid mendapati 50.8 peratus menyatakan program ini bagus dan 45.6 memberikan respon sederhana baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin di sini, hari ini.

Beliau berkata kementerian menyerahkan kepada sekolah untuk melaksanakan program itu mengikut kesesuaian masing-masing memandangkan pihak sekolah lebih rapat dan mengenali murid-murid di sekolah mereka.

Melalui program itu, katanya guru-guru akan menyambut kehadiran murid-murid di sekolah dan bertanya khabar bagi membolehkan mereka lebih mengenali latar belakang murid-murid.

"Kita menganggap murid sebagai aset sekolah dan mahu membentuk mereka sebagai modal insan yang berjaya dalam akademik, sahsiah diri, keperibadian dan berketerampilan," katanya.

Sementara itu, guru sekolah berkenaan Nor Azmah Md Zahir berkata program itu tidak membebankan golongan pendidik kerana mereka menjiwai tugasan itu yang memerlukan pengorbanan.

"Sebelum program ini dilancarkan, kami telah menggunakan pendekatan ini bagi mengenal dan mengetahui latar belakang murid-murid untuk memudahkan para guru mendidik mereka," katanya.

Beliau yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai pendidik merasakan program itu sebagai satu langkah yang bijak bagi merapatkan hubungan antara murid dan guru. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment