My Add

Friday 11 May 2012

Agong selamat kembali dari Brunei


*YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan isteri, Datin Nafesah Nong Chik, (kiri) sejurus tiba ke tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Brunei. - Foto BERNAMA

SEPANG, JUMAAT, 11 Mei, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, selamat kembali ke tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Brunei. 

Seri Paduka baginda berdua tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 5.30 petang.
Sejurus tiba, nyanyian lagu Negaraku dimainkan dan 21 das tembakan meriam dilepaskan.

Tuanku Abdul Halim turut berkenan memeriksa barisan kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja. 

Antara atur cara baginda dalam lawatan itu adalah Majlis Menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Majlis Santapan Negara; lawatan ke Bangunan Alat Kebesaran Diraja dan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta Majlis Santapan Malam bersama rakyat Malaysia di Brunei. 

Lawatan itu adalah yang pertama oleh Seri Paduka selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada 11 April lalu. 

Turut mengiringi baginda pada lawatan itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, dan isteri, Datin Nafesah Nong Chik, serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment