My Add

Monday 21 May 2012

Akauntan dipenjara 3 tahun, 2 sebatan kerana pecah amanah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Mei, 2012: Seorang akauntan hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan RM250,000 pada 10 tahun lalu. 

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, P.Subramaniam di akhir kes pembelaan.

Rozana ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah memandang berat kes terbabit memandangkan tertuduh terdiri daripada golongan profesional yang diberi kepercayaan untuk melaksanakan tugasnya.

Katanya, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh dalam kes ini tidak kuat dan kes tersebut telah mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. 

Mahkamah juga tidak membenarkan permohonan peguam M. Haresh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya, Subramaniam. 

Subramaniam, 51, didakwa melakukan pecah amanah beberapa cek yang kesemuanya bernilai RM250,000, yang diamanahkan kepadanya, apabila gagal membuat pembayaran cukai pendapatan Syarikat Cashflow Horizon Sdn Bhd kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Wilayah Persekutuan. 

Dia yang didakwa di mahkamah pada 14 Oktober 2009 dituduh melakukan kesalahan itu di Syarikat Cashflow Horizon Sdn Bhd, Wisma Pantai, No 5 Jalan 4/83A, di sini antara 30 Ogos hingga 13 Disember 2002. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda. 

Terdahulu, Haresh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya itu adalah pesalah pertama dan dia juga adalah penanggung tunggal keluarga selain insaf atas kesalahan yang dilakukan. 

Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal memohon hukuman setimpal kerana mangsa dalam kes ini menanggung kerugian yang besar selain hukuman yang diberikan bukan hanya memberi pengajaran kepada golongan biasa malahan kepada golongan profesional supaya tidak melakukan kesalahan yang sama. 

Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula pada 15 Julai 2011. 

Cashflow ialah sebuah syarikat yang mengusahakan produk kecantikan dengan jenama 'O'lynn'. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment