My Add

Monday 21 May 2012

Bantuan RM18.7 juta untuk warga emas di Sarawak

KUCHING, ISNIN, 21 Mei, 2012: Warga emas adalah penerima bantuan kebajikan tertinggi daripada keseluruhan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) iaitu sebanyak RM18.7 juta sehingga April tahun ini. 

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, di bawah skim Bantuan Warga Emas (BAWE), seramai 16,172 warga emas berumur 60 tahun menerima bantuan RM300 sebulan.

"Skim BAWE diberi kepada individu berumur 60 tahun ke atas yang tiada mata pencarian dan hidup sebatang kara, atau individu yang mempunyai keluarga tetapi tidak berkemampuan untuk menyara hidup mereka," katanya pada sesi penggulungan perbahasan untuk kementeriannya di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata tahun ini, JKMNS menerima peruntukan berjumlah RM117.8 juta dan daripada jumlah terbabit, RM42.6 juta adalah untuk bantuan bulanan manakala RM3.7 juta dibelanjakan untuk bantuan sekaligus untuk mangsa banjir, kebakaran serta bantuan alat orthopedik dan bantuan pengangkutan jenazah. 

Katanya, JKMNS turut memperuntukkan RM7.5 juta untuk memberi perhatian dan membela golongan kurang upaya (OKU) iaitu Bantuan Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM2.2 juta, Bantuan Penjagaan Terlantar (RM2.2 juta), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (RM1.5 juta) dan Elaun OKU tidak bekerja (RM1.6 juta). 

Dalam pada itu beliau berkata, dalam usaha untuk meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan awal kanak-kanak, sebanyak 1,415 buah Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak dengan bilangan 20,806, 1,375 kelas prasekolah Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (26,516 kanak-kanak), 170

Tadika Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (3,745 kanak-kanak) dan 367 Tadika swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (2,110 kanak-kanak). 

Fatimah berkata, selain Tabika, terdapat 46 buah Taska di bawah KEMAS dengan bilangan kanak-kanak seramai 725 orang, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional sebanyak tiga buah Taska dengan 53 kanak-kanak selain 63 buah Taska swasta berdaftar di bawah JKMNS dengan bilangan kanak-kanak seramai 1,408 orang.

Pada 2012, 97.25 peratus murid-murid Tahun 1 pernah mengikuti pendidikan prasekolah berbanding 95.12 peratus pada tahun 2011 dan 94.3 peratus pada tahun 2010, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment