My Add

Tuesday 15 May 2012

Banyakkan filem adaptasi dari novel - Maglin Dennis D’Cruz

KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Mei, 2012: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan syarikat produksi tempatan perlu bekerjasama menerbitkan filem hasil karya adaptasi novel ke filem bagi menjayakan Dasar Industri Kreatif Negara, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz.

Beliau berkata penerbitan filem daripada karya novel ke filem mampu menjana pendapatan tinggi kepada penggiat seni dan antara contoh penerbitan filem seumpamanya ialah filem "Ombak Rindu", yang berjaya mencatat keuntungan tinggi dalam penjualan tiket wayang baru-baru ini.

"Novel Ombak Rindu hasil karya Fauziah Ashaari ini menjadi fenomena dalam industri filem tempatan sehingga banyak pihak lain mengikut jejak langkah mereka dengan menerbitkan filem-filem diadaptasi daripada novel," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Hadiah Pertandingan Menulis Karya Adaptasi Novel ke Filem, Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas 2011 dan pelancaran Sayembara Dewan Bahasa dan Pustaka 2012, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan.

D"Cruz berharap Finas dapat memberi bantuan daripada segi dana peruntukan untuk menerbitkan filem hasil karya adaptasi novel, yang memenangi pertandingan itu kerana kos penerbitan sebuah filem sangat tinggi.

Katanya penerbitan filem daripada adaptasi novel dapat meningkatkan pembacaan novel dan cerpen tempatan, sekaligus memperkasakan dan memartabatkan Bahasa Melayu.

Bagi pertandingan Menulis Karya Adaptasi Novel ke Filem itu, tempat pertama dengan hadiah RM15,000 dimenangi Siti Jasmina Ibrahim yang mengadaptasi novel Bedar Sukma Bisu, kedua: Anwar Idris (RM8,000 - adaptasi novel Interlok) dan ketiga Nornasyiha Hamid (RM5,000) juga mengadaptasi novel Interlok.

Pemenang Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas 2011 dimenangi Aina Nabila Ahmad dengan karya “Ini Rumah Kita" (RM8,000); tempat kedua Ismail Kassan : Jambatan Merah (RM5,000) dan tempat Ketiga Siti Jasmina Ibrahim : Lelaki-Lelaki Dalam Kawah (RM3,000). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment