My Add

Wednesday 16 May 2012

Bekas penyelia dihukum penjara, denda kerana rasuah

JOHOR BAHRU, RABU, 16 Mei, 2012: Seorang bekas penyelia hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima rasuah daripada seorang pemilik nurseri, tahun lalu. 

Hakim Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah kes tertuduh, Fadzly Ahmad, 33.

Fadzly, bekas pekerja Ranhill Water Services Sdn Bhd Cawangan Kluang, dituduh menerima RM2,000 daripada pemilik nurseri Simple Farm Sdn Bhd, Tam Chee Ming.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada pihak Syarikat Air Johor kerana nurseri yang diurus oleh Simple Farm Sdn Bhd terbabit dikatakan melakukan kesalahan dengan menggunakan sistem paip air yang disambung dari bangunan persendirian. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di nombor 11, tingkat 1, Jalan Intan 7/1, Taman Intan, Kluang, kira-kira jam 5.40 petang, 2 April 2011. 

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Fadzly boleh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan hari ini kerana mahkamah hanya membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya selepas peguam Ramesh Vasan dan Abraham Mathew yang mewakilinya memohon penangguhan pelaksanaan hukuman terbabit.

Mohd Nasir memerintahkan rayuan pelaksanaan penangguhan hukuman penjara itu difailkan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh seminggu dan menetapkan wang jaminan RM5,000 sementara menunggu keputusan rayuan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ridzuan Abd Malik memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan kesnya membabitkan kepentingan awam selain mencemarkan nama syarikat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment