My Add

Saturday 5 May 2012

Bersih 3.0: 42 lagi diburu polis

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Polis mengedarkan 42 keping lagi gambar individu bagi membantu siasatan insiden kekecohan dan keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, gambar tersebut merupakan siri kedua yang disiarkan selepas hasil daripada penelitian gambar yang dirakam oleh media dan Polis Diraja Malaysia semasa perhimpunan itu berlangsung.

Katanya, gambar-gambar itu turut boleh dilihat di dalam laman sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai hari ini.

“Polis juga siarkan rakaman gambar anggota polis yang didakwa telah mengasari orang awam serta wartawan yang membuat liputan.

“Justeru, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil memberi kerjasama dengan mengemukakan bukti yang ada bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Berhubung individu yang diminta menyerah diri setelah gambar mereka disiarkan di akhbar hari ini, Mohmad memberitahu, hanya seorang sahaja yang tampil bagi membantu siasatan.

“Lelaki berumur 39 tahun itu telah datang sendiri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang tadi.

“Selain itu, seorang lagi mahasiswa berumur 22 tahun telah memaklumkan kepada pihak polis akan menyerahkan diri esok pagi bersama peguamnya," ujarnya.

Sementara itu, beliau berharap lebih ramai individu tampil bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan tersebut.






No comments:

Post a Comment