My Add

Thursday 3 May 2012

Bersih 3.0 beri kesan buruk kepada ibu negara

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang di ibu negara Sabtu lepas mampu menyebabkan kerugian jangka panjang terutamanya kepada imej Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata keadaan itu ditambah dengan laporan media antarabangsa serta di internet secara berterusan mengenai perhimpunan itu yang kebanyakannya memberikan gambaran negatif boleh mempengaruhi kemasukan pelabur asing ke Kuala Lumpur.

"Kementerian sedang dalam proses menggalakkan lebih ramai ramai pelabur ke Kuala Lumpur di bawah projek Invest KL. Jadi kalau kita nak promosi KL sekarang, dia (pelabur) baru tengok dalam televisyen, kemungkinan (hasrat) dia nak melabur di sini pun menurun.

"Tapi mungkin itu juga tujuan penganjur, mereka nak pelaburan turun, pelancong tak datang...mereka nak capai tujuan politik dan jatuhkan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang 2012 Yayasan Pendidikan Titiwangsa di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah kerugian terkini di sekitar Kuala Lumpur akibat perhimpunan tersebut.

Isnin lepas, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dan pihak pengurusan RapidKL berkata mereka akan mengumumkan kerugian yang ditanggung akibat perhimpunan itu tidak lama lagi, termasuk kerosakan harta benda awam oleh perbuatan liar peserta perhimpunan.

Raja Nong Chik berkata beliau turut menerima panggilan daripada beberapa peniaga kecil dan pemandu teksi yang menyatakan rasa tidak puas hati kerana pendapatan mereka terjejas ekoran perhimpunan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment