My Add

Tuesday 22 May 2012

BN yakin menang 32 kerusi DUN - Mohd. Zin

SHAH ALAM, ISNIN, 21 Mei, 2012: Barisan Nasional (BN) Selangor yakin memenangi sekurang-kurangnya 32 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang, sekali gus merampas kembali tampuk pemerintahan negeri ini daripada pakatan pembangkang.

Koordinatornya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamad berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan rakyat terhadap transformasi yang dilakukan kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain orang Melayu ujar beliau, transformasi oleh Perdana Menteri dalam pelbagai bidang meliputi ekonomi, politik dan sosial tersebut turut dirasai oleh kaum lain di negara ini khususnya masyarakat India dan Cina.

"Justeru, di Selangor ini kita yakin dapat kembalikan semula pentadbiran negeri di bawah BN. Berdasarkan pecahan kaum, pengundi di Selangor 50 peratus adalah terdiri daripada pengundi Melayu, Cina (34 peratus) manakala India mewakili 14 peratus.

"Maka untuk menang di negeri ini, apa yang diperlukan adalah UMNO menang sekurang-kurangnya 25 kerusi DUN, MCA empat kerusi dan kita juga ada tiga kerusi MIC," katanya.

Beliau berucap melancarkan jentera Pemuda MIC Parlimen Shah Alam di sini malam tadi, yang turut dihadiri Setiausaha Agung MIC, S. Murugesan dan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Pemuda BN Shah Alam, Azhari Shaari dan Ketua Pemuda MIC Shah Alam, K.S. Suppiah.

Mohd. Zin menegaskan, pengundi India di kawasan Parlimen Shah Alam dilihat cukup signifikan bagi memastikan kejayaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Ketika ini, ujarnya, terdapat 4,000 pengundi muda India daripada keseluruhan 13,000 pengundi kaum tersebut di Shah Alam.

Menurutnya, bagi memenangi kawasan Parlimen berkenaan, BN memerlukan 60 peratus sokongan pengundi Melayu dan 15 peratus pengundi Cina.

"Namun, pengundi India cukup signifikan bagi memastikan kejayaan BN di Parlimen Shah Alam yang mana BN memerlukan 60 peratus sokongan daripada pengundi kaum India," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, pada majlis tersebut, seramai 100 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Shah Alam mengisytiharkan keluar parti dan menyertai MIC.

Kesemua bekas anggota parti pembangkang itu menyerahkan borang keahlian MIC menerusi wakil mereka, R. Jayabalan kepada Mohd. Zin selain menyatakan sokongan penuh dan akan membantu kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Jayabalan, tindakan mereka keluar daripada PKR kerana hilang keyakinan terhadap pakatan pembangkang yang gagal membela nasib kaum India di negeri ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment