My Add

Wednesday 16 May 2012

DAP mahu pujuk Tunku Aziz kekal parti

Lim Guan Eng
SHAH ALAM, SELASA, 15 Mei, 2012: DAP tidak mahu Naib Pengerusinya, Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim keluar parti walaupun berbeza pendapat secara terbuka dengan pemimpin-pemimpin kanannya.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata, beliau akan cuba mengadakan pertemuan dengan Tunku Abdul Aziz bagi membincangkan perkara tersebut dan meminta agar mengubah keputusannya.

Tunku Abdul Aziz mengumumkan pendiriannya malam tadi.

"Walaupun beliau telah berbeza pendapat secara terbuka, kami tidak ingin beliau meninggalkan parti dan sebaliknya ingin beliau terus menjadi Naib Pengerusi DAP.

"Saya harap kita boleh menyelesaikan apa-apa perbezaan pendapat secara dalaman dan dengan semangat kesetiakawanan.

"Saya akan menghubungi beliau untuk berjumpa dan berbincang dengannya atas harapan beliau akan bertukar fikiran dan tidak keluar dari parti," kata Guan Eng dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.

Menurut laporan SINAR HARIAN, Guan Eng menambah, apabila mengumumkan peletakan jawatannya daripada DAP, Tunku Abdul Aziz telah menyatakan “perbezaan pendapat” sebagai sebab, atas perselisihan dengan pendirian rasmi DAP untuk menyokong Bersih 3.0 dan menyertai protes “duduk-bantah” di Dataran Merdeka untuk menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil.

Sebaliknya kata beliau, DAP telah memberi ruang yang luas dan tempat untuk Tunku Abdul Aziz untuk kekal sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan serta boleh menerima perbezaan pendapat dengan DAP atas usaha Bersih untuk membuat protes “duduk-bantah” di Dataran Merdeka untuk menuntut pilihan raya bersih.

Guan Eng berkata, mengikut laporan media Tunku Abdul Aziz telah menyatakan bahawa akibat perselisihan pendapat secara terbuka dengan DAP, beliau sendiri tidak ingin dicalonkan semula sebagai senator Pulau Pinang selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Mei ini.

"Dan juga menyatakan bahawa beliau tidak diberhentikan daripada jawatannya dalam Dewan Negara oleh DAP. Tunku Aziz juga telah mencadangkan kepada pimpinan parti supaya mengambil tindakan tatatertib yang setimpal dengan ahli-ahli lain kerana menyuarakan pendapatnya yang berbeza. Oleh sebab tindakan tatatertib tidak diambil, beliau mengambil keputusan untuk letak jawatan daripada DAP untuk mengelakkan malu," katanya lagi.

Sambil menyatakan kedukacitaan terhadap pengumuman Tunku Abdul Aziz, Guan Eng berkata, DAP percaya dalam prinsip kebebasan untuk bersuara dan setiap ahli dan pemimpin mempunyai hak untuk berbeza pendapat.

Malah katanya, beliau tidak setuju bahawa tindakan tatatertib harus diambil ke atas Tunku Abdul Aziz kerana berbeza pendapat dengan parti atas hak Bersih untuk melakukan protes “duduk-bantah” di Dataran Merdeka.

"Sememangnya terdapat rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli parti di setiap tahap kerana beliau telah mengambil pendirian terbuka yang bertentangan dengan parti dalam isu Bersih sebelum dan juga selepas perhimpunan pada 28 April.

"Namun begitu, jika Tunku berhak untuk menyuarakan pendapatnya yang berbeza, hak parti untuk menyatakan pendirian dalam isu dasar yang asas ini harus dihormati juga.

"Parti tidak sesekalipun mengambil apa-apa tindakan terhadap Tunku kerana menyuarakan perbezaan pendapatnya atau pun meminta agar beliau keluar atau letak jawatannya," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment