My Add

Friday 11 May 2012

Dewan Negara terima penarikan balik pindaan akta

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Dewan Negara hari ini dimaklumkan mengenai penarikan balik pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang sebelum ini diluluskan Dewan Rakyat pada 19 April lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong memaklumkan perkara itu ketika Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mempengerusikan sesi awal perbahasan usul.

"Tan Sri Yang Dipertua, menurut peraturan mesyuarat 61, saya mohon memaklumkan untuk menarik balik Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sebagaimana yang dijadualkan di nombor tujuh dalam aturan urusan mesyuarat hari ini," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika mengumumkan perkara itu semalam, berkata penarikan balik itu dibuat kerana mendapat tentangan daripada Anggota Parlimen pihak kerajaan dan pembangkang.

Beliau berkata persetujuan menarik balik Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Kesalahan Pilihan Raya itu dicapai secara bersama antara kerajaan, pihak pembangkang dan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu mesyuarat semalam.

Dibentangkan pada 9 April lepas, pindaan berkenaan bertujuan menambah baik proses pengundian termasuk menjauhkan lagi tempat bagi orang ramai menunggu atau berada dekat pusat mengundi pada hari mengundi dari 50 meter kepada 100 meter kecuali bagi mereka yang masuk untuk mengundi.

Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang tersebut pada 19 April setelah dibahaskan oleh Ahli Parlimen selama tujuh jam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment