My Add

Friday 11 May 2012

Dua cedera ditembak ceroboh rumah ahli perniagaan

MELAKA, JUMAAT, 11 Mei, 2012: Dua daripada tiga lelaki yang cuba menceroboh rumah dan melakukan samun cedera ditembak pemilik rumah berkenaan di Kampung Pantai Belimbing, Durian Tunggal, di sini, awal pagi tadi. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tiga lelaki dipercayai warganegara Indonesia memotong gril pintu depan rumah seorang ahli perniagaan, Mohd Shamil Fauzi, 27, menggunakan alat pemotong besi.

Beliau berkata, seorang daripada lelaki itu kemudian cuba memasuki bilik rumah mangsa yang tinggal bersama isterinya, seorang anak, ibu serta adik lelaki dengan memulas tombol pintu sebelum disedari isteri mangsa.

"Mangsa yang dikejutkan isteri kemudian bertindak mengambil senapang patah sebelum membuka pintu," katanya ketika dihubungi, hari ini. 

Raja Shahrom berkata, sebaik membuka pintu, mangsa yang mempunyai lesen senjata api sah, melihat seorang lelaki berdiri di depan pintu memegang pemotong besi dan mengarahkan lelaki itu pergi. 

Suspek enggan pergi sebaliknya bertindak membaling pemotong besi ke arah mangsa menyebabkannya cedera di dahi. 

Raja Shahrom berkata, mangsa bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah suspek mengakibatkan kecederaan di kaki kiri sebelum dia melarikan diri. 

"Kemudian dua lagi rakan suspek mengugut ingin menyerang mangsa menggunakan parang dan pisau menyebabkan mangsa sekali lagi menembak mencederakan seorang daripada mereka," katanya. 

Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta. 

Polis yang dimaklumkan mengenai pencerobohan itu berkejar ke tempat kejadian dan menemui suspek yang cedera di kaki kiri terbaring di luar pagar sebelum menghantarnya ke Hospital Melaka untuk rawatan. 

Hasil siasatan mendapati lelaki itu yang memiliki pasport Indonesia memasuki negara ini sejak enam hari lalu. 

Raja Shahrom berkata, kain berlumuran darah dipercayai digunakan suspek yang cedera dijumpai kira-kira 400 meter dari rumah mangsa. 

Polis kini giat mengesan dua lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam lima kes samun di daerah Alor Gajah sepanjang tahun ini mengikut modus operandi yang sama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment