My Add

Thursday 3 May 2012

Dua pengawal ditahan berhubung kes pecah ATM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Polis menahan dua pengawal keselamatan bagi membantu siasatan kejadian sebuah mesin juruwang automatik (ATM) yang dipecahkan serta wang RM190,000 dilarikan di Mid Point, Ampang, Isnin lalu. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin, berkata kedua-dua suspek berumur 29 dan 41 tahun itu ditahan serta-merta di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, tiada rampasan dilakukan terhadap kedua-dua suspek dan polis masih melakukan siasatan terperinci terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan program tinjauan di sekitar Ampang Point di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah. 

Dalam kejadian 7.50 pagi Isnin lalu, perompak dipercayai memasuki pasar raya itu melalui pintu sisi sebelum mengumpil dan memecahkan mesin ATM berkenaan sebelum melarikan wang tunai RM190,000 dalam ATM itu. 

Sementara itu, Amiruddin berkata kadar jenayah di sekitar Ampang Jaya turun 2.6 peratus di mana 1,457 kes dilaporkan sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini berbanding 1,969 kes dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment