My Add

Thursday 10 May 2012

'Durian runtuh' lenyapkan tohmahan

KUALA LUMPUR, RABU, 09 Mei, 2012: Pemberian durian runtuh kepada warga Felda yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.689 bilion secara tidak langsung melenyapkan tohmahan bahawa organisasi itu telah bankrap.

Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata, ironinya, imbuhan tersebut adalah sebagai balasan ke atas kecemerlangan Felda selama 56 tahun.

"Kita turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah menepati janji dengan memberikan 'durian runtuh' kepada warga Felda.

"GWGF menyokong penuh keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah membuat keputusan tepat dan adil dalam pembahagian 'durian runtuh' ini ," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pengumuman itu menyaksikan sebanyak RM15,000 diagihkan mengikut fasa iaitu permulaan RM5,000 untuk ketua keluarga disusuli fasa kedua dan ketiga dengan jumlah sama untuk isteri dan generasi kedua Felda.

Turut tidak dilupakan ialah para pegawai dan kakitangan Felda yang masing-masing bakal menerima bonus dua setengah bulan gaji.

Menurut Rozali, peneroka, generasi baru serta kakitangan Felda telah diiktiraf kerajaan sebagai pemangkin kecemerlangan Felda.

"Bukan mudah untuk membina sesebuah tamadun seperti Felda yang berjumlah lebih dua juta orang.

"Oleh itu, wajarlah mereka dibalas dengan pemberian perkongsian kekayaan apatah lagi penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) nanti bakal melakar sejarah ketamadunan Felda lebih gemilang," katanya.

Rozali turut menyeru kepada semua warga Felda yang mendapat durian runtuh tersebut agar sentiasa beringat dan berjimat-cermat.

"Elakkan pembaziran dan sentiasa fokus kepada kerja yang mendatangkan hasil yang lumayan. Dengan mensyukuri nikmat ini, nescaya rezeki kita akan melimpah-ruah," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Anuar Abd. Manap bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan imbuhan tersebut.

"Seluruh warga Felda merasai nikmat yang diberi meliputi ketua keluarga, malahan kepada isteri dan juga generasi kedua Felda.

"Inilah janji yang telah dikotakan dan kita dapat melihat sendiri keprihatinan yang diberikan kerajaan kepada semua peringkat rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment