My Add

Wednesday 9 May 2012

Ekonomi negara dijangka terus stabil

KUALA LUMPUR, RABU, 09 Mei, 2012: Berdasarkan petunjuk terkini, ekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang stabil dan dijangka berterusan pada tempoh separuh kedua tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Negara bahawa bagi tempoh antara Januari dan Februari tahun ini, eksport kekal negara mencatat pertumbuhan 7.1 peratus manakala import 10.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Indeks Pengeluaran Industri pula berkembang sebanyak 3.8 peratus. Dalam tempoh sama juga import barangan modal mencatat pertambahan 32.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Di samping itu harga minyak sawit pada 25 April lepas kekal teguh pada RM3,450 setan metrik manakala getah RM10.88 sekilogram," katanya menjawab pertanyaan Senator Tengku Aziz Tunku Ibrahim mengenai tahap kesediaan kerajaan berdepan krisis Euro.

Awang Adek berkata pada tarikh yang sama Indeks Bursa Kuala Lumpur (KLCI) mencatat paras lebih tinggi iaitu 1,579 mata berbanding 1,579 mata pada akhir Disember tahun lepas.

Beliau berkata keyakinan pelabur terus meningkat disokong peningkatan pelaburan asing sebanyak 12.3 peratus kepada RM33 bilion pada tahun lepas.

"Kegiatan pelaburan swasta dijangka terus cergas, dirangsang oleh peluang perniagaan daripada pelaksanaan projek ETP dan GTP serta pelaksanaan beberapa inisiatif utama kerajaan dalam menarik pelaburan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan berkata jumlah dagangan antara Malaysia dan Myanmar meningkat kepada RM2.42 bilion tahun lepas berbanding RM1.92 bilion pada 2010.

"Eksport Malaysia ke Myanmar meningkat kepada RM1.71 bilion tahun lepas berbanding RM1.18 bilion pada tahun sebelumnya, manakala import Myanmar ke Malaysia sebanyak RM710 juta tahun lepas dan RM730 juta pada 2010.

"Jumlah pelaburan Malaysia di Myanmar pula sebanyak AS$977.6 juta (RM2.99 bilion) merangkumi pelaburan pelbagai bidang seperti pembinaan, hotel, petroleum dan perkilangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Chiw Tiang Chai dan Senator Datuk Mohammad Najeeb Abdullah yang bertanya tentang status terkini pelaburan serta perdagangan antara Malaysia dan Myanmar.

Menurutnya kerajaan menyambut baik perubahan di Myanmar yang mula mengamalkan dasar politik dan ekonomi yang lebih terbuka.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang mempergiat usaha bagi meningkatkan hubungan dua hala serta meninjau peluang pelaburan di Myanmar," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment