My Add

Sunday 20 May 2012

FAMA rancang tambah 7,000 hektar ladang kontrak

TASEK GELUGOR, AHAD, 20 Mei, 2012: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk membuka tambahan 7,000 hektar ladang kontrak membabitkan 4,500 peserta tahun depan bagi meningkatkan pengeluaran hasil makanan.

Ketua Pengarah FAMA, Ahmad Ishak, berkata tambahan kawasan itu akan menjadikan keluasan ladang kontrak meningkat kepada 9,000 hektar dan dijangka mampu menjana jualan RM600 juta menerusi pengeluaran 300,000 tan metrik sayur dan buah-buahan.

Pada masa ini, terdapat 2,000 hektar ladang kontrak membabitkan 1,000 peserta yang ditanam dengan lebih 30 jenis sayur-sayuran dan buah-buahan, katanya kepada pemberita selepas pelancaran program 'Jimat Belanja Dapur' (JBD), Fasa III peringkat Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran yang diadakan di Pasar Tani Mega Tasek Gelugor itu dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Pasar tani itu adalah antara empat pasar tani di negeri ini yang mengambil bahagian dalam program JDB Fasa III yang bermula sejak 20 April lalu sehingga 19 Julai ini. Tiga lagi ialah pasar tani di Balik Pulau, Pokok Sena dan Guar Perahu.

Mengenai program JDB, Ahmad berkata, program itu turut membantu pekebun dan penternak tempatan memasarkan produk mereka secara terus selain membantu peniaga pasar tani yang mengambil bahagian dalam JBD dengan memberikan mereka insentif.

"Melalui JBD Fasa III, orang ramai dapat membeli barangan terpilih di lebih 200 pasar tani yang mengambil bahagian dengan harga diskaun sehingga 30 peratus daripada harga pasaran.

"Peniaga juga boleh menjual dengan lebih murah kerana mereka mendapat bekalan terus dari ladang dan FAMA percaya dengan penambahan lebih banyak peserta ladang kontrak akan mampu menampung bekalan," katanya.

Katanya, JBD kali ini juga membabitkan 22 jenis barangan terpilih yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan, ayam dan ikan.

"Sayuran dan buah-buahan terbabit ialah tomato, timun, kacang panjang, kentang, cili, kubis bulat, halia tua, lobak merah, bawang besar India, kelapa, pisang, nanas, tembikai, cili padi, sawi dan bendi.

"Bagi ikan pula ialah pelaling, cencaru, kembung, selar dan selayang. Selepas ini kita akan cuba untuk memasukkan daging dalam senarai JBD agar pelanggan boleh membelinya dengan harga lebih murah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment