My Add

Saturday 5 May 2012

Gaji minimum: Peniaga diingat jangan naikkan harga barang

SEBERANG PERAK, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Kerajaan memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga barang berikutan pengumuman kadar gaji minimum sektor swasta baru-baru ini. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

"Kita ada akta yang kawal kenaikan harga barang tanpa sebab yang munasabah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pasaraya Coop Mart dan Coop Business Centre (CBC) Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Seberang Perak di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, tiada sebab untuk peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang berikutan pengumuman kerajaan itu. 

"Harga barang dari Januari tahun ini hingga sekarang masih stabil. Ini mungkin disebabkan kita masih kawal kenaikan harga minyak," katanya. 

Ismail Sabri berkata, sebanyak 1,200 pegawai pemantau harga dan 2,000 penguatkuasa kementerian akan memantau kenaikan harga barang dari semasa ke semasa. 

"Kita juga ada skuad pengguna dan gerakan pengguna siswa di universiti yang akan membantu memantau harga barang," katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta ialah RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula pada paras RM800 atau RM3.85 sejam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment