My Add

Tuesday 15 May 2012

Garis panduan tertentu sektor minyak dan gas ditingkatkan

KUALA TERENGGANU, SELASA, 15 Mei, 2012: Kementerian Sumber Manusia akan meningkatkan garis panduan tertentu dalam sektor minyak dan gas di negara ini memandangkan sektor itu memerlukan tahap keselamatan dan spesifikasi risiko yang tinggi dalam pengendaliannya. 

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata kementerian memandang serius tahap keselamatan pekerja semasa bertugas dalam sektor ini kerana sudah dua kes berlaku melibatkan industri berkenaan dalam tempoh dua bulan.

Katanya, kerajaan dan kementerian melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sememangnya memberi tumpuan yang tinggi kepada tahap keselamatan dalam semua industri, khasnya sektor minyak dan gas.

"Walaupun kita sudah sediakan garis panduan tertentu yang sepatutnya dipatuhi, akan tetapi sekiranya ada keperluan memperbaiki untuk elakkan insiden sedemikian berlaku, kita akan buat demikian," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menghulurkan bantuan kepada Mohd Zamri Fithri Mat Noor, 25, yang masih koma akibat letupan loji gas di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. 

Dalam kejadian 10 Mei, sebuah pusat pemprosesan gas di Loji Pemprosesan Gas (GPP) dalam kawasan Kompleks A milik Petronas di Kerteh, Kemaman meletup menyebabkan Mohd Zamri, berasal dari Padang Pulut, Dungun, cedera parah dengan 90 peratus bahagian muka, tangan dan badannya melecur. 

Kejadian kira-kira 3 petang itu turut mengorbankan seorang pekerja kontrak, Rosli Mansor, 31, yang maut di tempat kejadian. 

Lapan pekerja lain yang kesemuanya adalah petugas kontraktor, Hyundai PFCE, yang ketika itu sedang menjalankan kerja menyenggara di loji berkenaan, dirawat di Hospital Kemaman dan Hospital Dungun. 

Subramanian berkata, kes itu masih dalam siasatan awal dan kementerian sedang menunggu laporan penuh forensik. 

Pada 5 April lalu, seramai 23 pekerja terhidu gas amonia di kawasan sama dan pelepasan gas itu dipercayai berlaku di sebuah loji lain yang tiada kaitan dengan syarikat petroleum negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment