My Add

Friday 25 May 2012

Geran Pembangunan Pasaran

*MUSTAPA Mohamed bersama Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) , Datuk Mah Siew Keong (tengah) dan Timbalan Pengarah 2 Matrade , Datuk Zakariah Kamarudin melakukan gimik pelancaran Aplikasi Mobile Matrade di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh FAIRUS KASSIM
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 Mei  , 2012: Kerajaan hari ini mengumumkan nilai siling bagi Geran Pembangunan Pasaran untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ditingkatkan kepada RM100,000 untuk setiap syarikat berbanding RM30,000 sebelum ini, berkuatkuasa 1 Julai ini.

Syarat maksimum perolehan tahunan syarikat untuk setiap permohonan turut dinaikkan daripada RM5 juta kepada RM25 juta bagi menarik lebih banyak syarikat dalam sektor perkhidmatan untuk menerokai pasaran luar negara.

Jumlah maksimum pekerja juga ditingkatkan daripada 50 pekerja kepada 150 pekerja dalam syarat geran baru berkenaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi menampung peningkatan tersebut, jumlah keseluruhan geran turut bertambah daripada RM20 juta pada 2011 kepada RM50 juta tahun ini.

Katanya, peningkatan nilai siling dan maksimum perolehan dibuat berdasarkan maklum balas PKS khususnya dalam sektor perkhidmatan yang sebelum ini gagal memohon bantuan berikutan syarat maksimum yang ditetapkan terlalu rendah.

"Oleh itu, dengan geran baru ini, diharapkan lebih ramai usahawan sektor perkhidmatan mengeksport produk mereka ke luar negara bermula tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar Kewangan Perdagangan untuk Eksport PKS, di sini hari ini.

Pada 2011, geran yang sama bernilai RM20 juta berjaya membantu 1,300 PKS dan perangkaan itu dijangka meningkat kepada 1,800 PKS pada tahun ini.

Mengulas mengenai jangkaan Bank Dunia terhadap kejatuhan eksport ke China pada tahun ini, beliau berkata, impaknya tidak membimbangkan Malaysia.

"Setakat ini perkara berkenaan tidak besar kepada kita, dan kerajaan ketika ini sedang berusaha menguatkan pelaburan serta permintaan domestik.

"Sektor pelaburan domestik tumbuh 90 peratus diikuti sektor pembinaan 15 peratus. Pelaburan langsung asing juga mencatatkan RM7.5 bilion pada suku pertama. Ekonomi kita agak baik ketika ini" katanya.

Tambah beliau lagi, walaupun berdepan dengan kemelut berkenaan kerajaan masih optimis untuk mencapai sasaran pertumbuhan eksport antara lima hingga enam peratus pada tahun ini ke negara berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment