My Add

Saturday 12 May 2012

Hargai kepelbagaian budaya di Malaysia: Muhyiddin

KUALA LUMPUR,, SABTU, 12 Mei, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rakyat Malaysia harus bersyukur dan menghargai keistimewaan kepelbagaian budaya yang dikongsi di negara ini.

Beliau berkata, kestabilan dan kemakmuran yang dikecapi hasil kerjasama semua kaum membolehkan setiap perayaan utama etnik di negara ini disambut bersama.
Katanya, Malaysia mampu mengecapi kemakmuran ketika banyak negara di dunia berdepan dengan isu hubungan perkauman.

"Kepelbagaian budaya adalah sebahagian daripada warisan Malaysia dan biar kita semua bangga dengannya," katanya ketika merasmikan sambutan Tadau Kaamatan edisi ke-17 di Menara Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Sambutan anjuran Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Lembah Klang itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitigan.

Muhyiddin berkata, sambutan pelbagai pesta di Malaysia turut memperkayakan nilai hidup rakyat kerana mereka mampu memperakui dan menerima kebudayaan bangsa lain.

Beliau berkata, Tadau Kaamatan yang disambut sebagai tanda kesyukuran untuk musim menuai, adalah sambutan terpenting dalam kalender tahunan kaum Kadazandusun dan diiktiraf sebagai perayaan kebangsaan walaupun sebahagian mereka yang menyambutnya adalah di Sabah.

"Ini contoh pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional kepada semua kaum Kadazandusun di negara ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment